Bantu anak yatim

Bantu anak yatim

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Bagi meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat dan mempelbagaikan mekanisme kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan terhadap golongan yang kurang bernasib baik khususnya anak-anak yatim, SMS Brunei Prihatin bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) Tahun 2016-2017 dilancarkan hari ini.

Pelancaran juga diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Sumbangan DANA dalam Bentuk Kupon untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-anak Yatim DANA bagi tahun 2017 yang diadakan di Dewan Serba Guna Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di ibu negara.

SMS Brunei Prihatin itu dilancarkan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri Pendidikan yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin menerima bahan promosi SMS Brunei Prihatin itu dalam bentuk cakera padat (DVD) daripada Pengurus Am Syarikat Magic Media, Pengiran Farhana binti Pengiran Haji Bujang yang menaja pembikinan video promosi SMS tersebut yang ditayangkan di Radio Televisyen Brunei (RTB) dan pawagam tempatan seperti The Mall Cineplex, Times Cineplex dan The Arena Cineplex.

Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Haji Brahim bin Haji Ismail ketika berucap pada majlis pelancaran itu mengatakan, Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA ini akan berjalan selama lebih dua bulan bermula hari ini sehinggalah 31 Januari 2017.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi melancarkan SMS Brunei Prihatin bagi DANA tahun 2016-2017 dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi melancarkan SMS Brunei Prihatin bagi DANA tahun 2016-2017 dalam majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan.

Bagi menjayakannya, syarikat telekomunikasi, DST dan Progresif Cellular Sdn Bhd akan memberikan kemudahan SMS tanpa dikenakan sebarang caj perkhidmatan. Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bolehlah mengirimkan SMS dengan menaip DANA diikuti jumlah sumbangan ($1, 5, 10, 15 atau 20) tanpa jarak dan menghantar ke nombor 3811.

Majlis pelancaran juga diserikan dengan tayangan promo SMS Brunei Prihatin dan sumbangan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi. Ia diteruskan dengan penyampaian poster SMS Brunei Prihatin daripada DST yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Yang Berhormat Pehin kemudiannya menyampaikan sumbangan DANA dalam bentuk kupon sebanyak 3,848 kupon bernilai $70 setiap satu bagi pembelian peralatan dan keperluan persekolahan 2017 setiap anak yatim berdaftar di bawah Sektretariat DANA.

Kupon-kupon disampaikan kepada setiap daerah, yang diterima oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misli bin Haji Abdul Karim; wakil Pegawai Daerah Belait, Awang Mohd Abdul Hadi bin Haji Mohd Syarifuddin; Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Kupon-kupon ini nanti akan diserahkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara oleh ketua kampung masing-masing. Ia sah ditukarkan atau digunakan di 28 buah syarikat atau kedai-kedai buku, barangan keperluan sekolah dan barang-barang keperluan harian (bagi anak yatim yang belum bersekolah) di seluruh negara.

Sumbangan ini dihasratkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan menjelang persekolahan tahun depan dan mempertingkatkan lagi pencapaian anak-anak yatim ini.