Bantu bakal pengantin cari pakej terbaik

Bantu bakal pengantin cari pakej terbaik

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Bagi membantu bakal-bakal pengantin merancang majlis perkahwinan impian mereka, Koleksi Reyn HM Bridal dengan kerjasama beberapa pengusaha perkahwinan akan mengadakan hari terbuka yang bertemakan ‘Trend Perkahwinan 2017’ pada 18 hingga 20 November ini di House Boutique, Kampung Sengkurong ‘A.’

Pereka fesyen pengantin tempatan yang dikenali ramai, Reyn HM ketika ditemu bual menjelaskan, tujuan beliau mengadakan hari terbuka itu adalah untuk membantu bakal-bakal pengantin berbincang dan mengetahui harga-harga perkhidmatan pengantin secara lebih dekat selain dapat membantu bakal pengantin mencari pakej-pakej perkhidmatan yang disediakan mengikut keperluan dan trend perkahwinan masa kini.

Selain itu, ia juga bagi mengeratkan hubungan pengusaha-pengusaha perkhidmatan pengantin dalam talian dengan bakal-bakal pengantin secara lebih dekat dan menggalakkan pengusaha-pengusaha tempatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada bakal pengantin.

Selain menampilkan pakej pakaian pengantin dan mekap pengantin oleh Koleksi Reyn HM Bridal, beberapa pengusaha akan turut hadir bekerjasama untuk memberi peluang kepada bakal pengantin mencari pakej perkahwinan mereka, sesuai dengan trend perkahwinan masa kini.

Bakal pengantin boleh melihat dan bertanya dengan lebih dekat mengenai produk-produk pilihan dari pengusaha-pengusaha terkenal di negara ini.
Bakal pengantin boleh melihat dan bertanya dengan lebih dekat mengenai produk-produk pilihan dari pengusaha-pengusaha terkenal di negara ini.

Antara pengusaha yang ikut serta ialah Drs Decoration yang menawarkan perkhidmatan pelamin eksklusif, Wan’s Deco yang menawarkan perkhidmatan gubahan hantaran, HYS Tindulang menawarkan Perkhidmatan Katering, Khalentra menawarkan cenderahati dan hadiah campuran, serta pakej penggambaran/videografi oleh The Ocular.

Reyn berharap hari terbuka itu nanti akan mendapat sambutan yang menggalakkan serta dapat memperlihatkan dan memudahkan bakal pengantin untuk melihat dan bertanya dengan secara langsung mengenai produk-produk pilihan daripada pengusaha-pengusaha terkenal di negara ini.

Selain itu, bakal-bakal pengantin juga akan ditawarkan harga promosi semasa membuat tempahan pakej perkahwinan pada hari terbuka berkenaan.

Acara berkenaan merupakan kali keempat diadakan dengan acara-acara sebelum ini mendapat kunjungan dan sokongan yang menggalakkan daripada bakal-bakal pengantin.

ARTIKEL YANG SAMA