Bantu golongan belia teroka peluang kerjaya

Bantu golongan belia teroka peluang kerjaya

Oleh Sim Y. H.
pg01_160322_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Penubuhan Pusat Latihan Kemahiran untuk Latihan Perladangan, Ternakan dan Nelayan akan memberikan peluang kepada pencari kerja yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang pertanian dan penternakan serta memberikan peluang kepada golongan belia untuk meneroka peluang kerjaya yang baru.

Cadangan berkenaan dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf dalam ucapan penangguhannya. Di samping itu, penubuhan Pusat Latihan Perikanan dan Laut Dalam serta skim bantuan kepada belia-belia yang berminat untuk menceburi kerjaya sebagai nelayan turut dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato Haji Muhammad Taha semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang untuk hari ke-12, hari ini.

Beliau percaya dengan adanya pusat itu, ia akan melahirkan golongan nelayan-nelayan pantai dan laut dalam, di samping menjana peluang pekerjaan dan menambahkan jumlah pengusaha perikanan anak tempatan yang bukan sahaja menggunakan bot kecil tetapi kapal khas menangkap ikan seperti di negara maju.

Melalui usaha itu, menurut beliau, ia akan dapat mengurangkan penggantungan negara kepada pengimportan ikanikan dari luar negara.

Manakala itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dalam ucapannya pula percaya bahawa Daerah Tutong mampu menjadi Pusat Pemakanan Halal (Halal Hub) bagi penghasilan, pemprosesan dan pengilangan makanan dan minuman termasuk makanan laut dan sayur-sayuran jika semua sumber-sumber asas berkenaan dapat dipertingkatkan secara terancang dan sistematik.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa usaha itu boleh meningkatkan jumlah produk-produk negara yang boleh dieksport.

Yang Berhormat Haji Ramli juga percaya sektor pelancongan boleh membantu mempelbagaikan ekonomi negara kerana ia boleh berperanan sebagai pemasaran, meningkatkan pertukaran wang asing dan mempromosi produk Brunei ke luar negara untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi percutian yang boleh menjana peluang-peluang pekerjaan.

Beliau berkata terdapat beberapa sumber asli atau produk yang sedia ada seperti makanan tradisional dan budaya etnik Daerah Tutong, dapat diketengahkan dan dimajukan, untuk destinasi pelancongan dalam dan luar negara supaya dapat memberikan hasil yang lumayan kepada negara.

Yang Berhormat Haji Ramli turut mencadangkan, Pusat Pembangunan Kemahiran yang berkaitan dengan industri dibangunkan di Daerah Tutong untuk meningkatkan kemahiran pelajar tentang pelbagai industri yang ada, untuk mewujudkan perubahan tatacara kerja yang lebih efisien, bagi menyediakan pekerja mahir, separa mahir dan pekerjaan kolar biru anak tempatan.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad dalam ucapan penangguhannya menyeru seluruh lapisan rakyat dan penduduk negara harus prihatin dan memahami dengan situasi ekonomi semasa negara serta dalam masa yang sama, terus menyokong dan mendukung usaha berterusan kerajaan untuk memastikan keselesaan, keamanan dan keharmonian dalam masyarakat serta keperluan rakyat sentiasa terpelihara.

ARTIKEL YANG SAMA