Bantu graduan muda miliki rumah

Bantu graduan muda miliki rumah

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) – Golongan graduan muda Malaysia, terutamanya mereka yang memulakan kehidupan di bandar-bandar utama, lazimnya akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kos sara hidup harian mereka.

Purata pendapatan bulanan graduan yang baharu menamatkan pengajian, khususnya pemegang ijazah, hanya pada sekitar RM3,000 dan bagi pemegang diploma, jumlahnya adalah lebih rendah.

Dengan harga rumah semasa, yang meningkat, mustahil bagi graduan muda untuk memiliki rumah di Lembah Klang dan bandar-bandar utama lain.

Nilai rumah di kawasan tersebut adalah lebih 100 kali ganda pendapatan bulanan pemegang ijazah baharu.

Sehubungan itu, lebih ramai graduan memilih aset yang mempunyai susut nilai, termasuk kereta dan motosikal, untuk memenuhi keinginan mereka memiliki aset.

Profesor Madya Dr Mohd Eskandar Shah Mohd Rasid berkata trend ini tidak sihat untuk golongan graduan, terutamanya dari segi kewangan jangka panjang mereka.

Timbalan Dekan Pengajian Siswazah di Pusat Pendidikan dan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) itu berkata kerajaan sebagai pengawal selia, mungkin perlu mencari penyelesaian untuk membantu golongan graduan memiliki sesuatu yang akan membantu mereka meningkat dalam rantaian nilai.

Dengan hanya membeli aset yang mempunyai susut nilai, beliau berkata, mereka akan menghadapi kesukaran untuk meningkatkan taraf hidup mereka pada masa akan datang.

“Antara yang kerajaan boleh lakukan ialah melihat kepada pemberian subsidi bagi pembelian hartanah memandangkan kita pada masa ini memberi subsidi yang agak banyak kepada penggunaan (lain).

“Mungkin penjimatan yang kita peroleh daripada penghapusan semua subsidi ini boleh disalurkan dengan memberi subsidi bagi pembelian hartanah kerana ia amat penting kepada graduan muda untuk memiliki sesuatu (aset yang meningkat nilai) di negara ini dan membina kehidupan mereka,” katanya kepada Bernama.

Graduan yang memiliki rumah pada harga subsidi sebagai permulaan, katanya, akan membantu mereka dari segi kewangan jangka panjang mereka pada akhirnya, dan beralih daripada masyarakat yang berasaskan hutang kepada masyarakat pemilikan.

ARTIKEL YANG SAMA