Bantu keluarga susah

Bantu keluarga susah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Sept – Sebuah keluarga seramai lapan orang yang mengadu mengalami masalah kesempitan hidup sejak suami kehilangan kerja tetapnya, hari ini, mendapat perhatian daripada Canang Citra Event Management (CCEM) yang menghulurkan bantuan berupa makanan asasi yang telah diserahkan di kediaman keluarga itu, di Lorong Tiga Seria, di sini.

Pengurus CCEM, Haji Zaini bin Haji Munir, memberitahu Media Permata, setelah mendapat tahu tentang masalah keluarga itu, mereka segera membuat inisiatif untuk menghulurkan bantuan, dengan hasrat dapat sedikit sebanyak meringankan kesusahan keluarga itu, yang turut melibatkan seorang anak damit berusia tiga bulan yang kehabisan keperluan susu. Menurutnya lagi, ketua keluarga itu, Awang Mohd Nawi bin Abdullah, 35, telah kehilangan kerja tetapnya sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat di sini, setelah syarikat itu melalui proses pengurangan tenaga kerja pada tahun 2013 lalu.

Sejak itu, dia telah banyak membuat permohonan kerja di beberapa buah syarikat tetapi nasib belum menyebelahinya kerana sehingga hari ini belum mendapat respons positif daripada mana-mana syarikat berkenaan.

Sementara itu, isterinya, Dayang Yuhana binti Metussin, 38, ketika dihubungi Media Permata hari ini, menyatakan, sejak kehilangan kerja, suaminya kadang-kadang membantu mengambil upah, membungkus kuih pulut panggang dan mengupas kulit kelapa di kampung tersebut, yang kadang-kadang hanya cukup untuk menampung pembelian susu anak damit mereka.

Haji Zaini menyerahkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan bantuan di Berek Lorong Tiga, Seria.
Haji Zaini menyerahkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan bantuan di Berek Lorong Tiga, Seria.

Dayang Yuhana juga memberitahu, Majlis Kesejahteraan Masyarakat turut menghulurkan bantuan berupa keperluan asasi dan sebagainya setiap hujung bulan. Menurutnya pertubuhan itu telah memberi bantuan sejak mereka tinggal di Daerah Brunei dan Muara sebelum ini, termasuk kadang-kadang menghulurkan lampin pakai buang dan juga kad tambah nilai elektrik.

Beliau juga memberitahu, mereka telah menghadapkan permohonan mendapatkan bantuan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada tahun lepas.

“Seramai empat orang anak kami masih bersekolah, dalam Tahun 8 di Maktab Anthony Abell Seria, tiga lagi masing-masing dalam Tahun 5, 3 dan 1 di Sekolah Rendah PSN Lorong Tiga Seria, dan seorang anak lelaki saya mengalami kecacatan Sindrom Down berusia tiga tahun dan seorang lagi anak damit berusia baru tiga bulan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA