Bantu masyarakat melalui Program Ikhlas 3.0

Bantu masyarakat melalui Program Ikhlas 3.0

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam hari ini telah menjalankan Program Ikhlas 3.0 bersempena Hari Antarabangsa bagi Kesedaran Bencana di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, berdekatan dengan kawasan letak kereta tetamu khas.

Projek Ikhlas 3.0 ini dihasratkan untuk mengumpul sedekah dan bantuan daripada masyarakat umum berupa barang keperluan asasi menerusi Program Food Aid BDRC untuk diagihkan dalam menangani keperluan bantuan kecemasan dan darurat seperti bencana alam, kebakaran, tanah runtuh dan banjir serta lainnya kepada masyarakat yang memerlukan dari semasa ke semasa.

Menurut Ketua Pegawai Sukarelawan dan Bantuan Kecemasan, Awang Isham bin Ismail, Program Ikhlas 3.0 yang dijalankan itu merupakan salah satu program Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam yang diadakan setiap tahun dan ia merupakan kali ketiga ianya dijalankan.

Awang Isham bersama ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam menyusun barangan asasi yang disumbangkan daripada orang ramai.
Awang Isham bersama ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam menyusun barangan asasi yang disumbangkan daripada orang ramai.

Pada kali ini, sambutan sangat menggalakkan walaupun sumbangan yang diterima diberikan secara beransur-ansur. Barang-barang yang disumbangkan adalah berupa barangan keperluan asasi makanan dan lain-lain seperti beras, gula, minyak masak, makanan kering, makanan dalam tin, mi segera, air mineral, dan barangan perubatan seperti pembalut luka dan sebagainya.

Ahli persatuan tersebut menyeru kepada orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan, mereka boleh menghubungi Ketua Pegawai Sukarelawan dan Bantuan Kecemasan, Awang Isham di talian 8804535.

Awang Isham menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyampaikan sumbangan dan juga ahli-ahli Persatuan yang bertungkus lumus dalam membantu program tersebut berjalan dengan lancar dan berharap mereka diberikan ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

ARTIKEL YANG SAMA