Bantu OIC tangani isu umat Islam

Bantu OIC tangani isu umat Islam

ISTANBUL, 15 April (Bernama) – Turki, selaku pengerusi baharu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), berharap Malaysia yang dilihat sebagai negara anggota yang penting dalam pertubuhan itu, terus memainkan peranan dalam menangani cabaran semasa membabitkan umat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasrat itu dinyatakan menerusi perbincangan dua halanya bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani.

“Mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada Malaysia untuk membantu Sekretariat OIC dan Turki dalam menghadapi cabaran dihadapi negara-negara dalam OIC dan dunia Islam keseluruhannya.

“Maknanya, kepimpinan Malaysia masih menyerlah dalam konteks OIC, mereka tetap menghormati Malaysia dan mengharapkan Malaysia dapat menyumbang kepada OIC,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, hari ini.

Najib mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Adel Al-Jubeir sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Pusat Kongres Istanbul. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Adel Al-Jubeir sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Pusat Kongres Istanbul. – Bernama

Persidangan peringkat ketua-ketua negara yang bermula semalam itu disertai para pemimpin Islam dari 57 buah negara dan antara isu yang menjadi fokus kepada persidangan itu, antaranya berkaitan perpaduan ummah, Islamophobia, ancaman kumpulan militan dan isu Palestin.

Pada persidangan bertema ‘Perpaduan dan Penyatuan Demi Keadilan dan Keamanan’ itu, Najib berkata beliau turut menekan konsep ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan dalam menghadapi cabaran semasa.

“Saya telah beri saranan supaya pertamanya kita nak menekankan soal perpaduan dan penyatuan dalam kalangan negara-negara OIC, di mana kelemahan inilah yang menghantui negara-negara Islam.

“Saya menekankan betapa pentingnya konsep wasatiyyah ini, konsep umat Islam sebagai umat sederhana, umat yang terbaik, itulah yang dijadikan landasan prinsip untuk diperjuangkan oleh negara Islam berdasarkan kepada semangat saling menghormati sama ada sesama umat Islam dan bukan Islam dan juga nilai-nilai keadilan sosial,” katanya.

Najib berkata beliau turut membangkit isu-isu di rantau Asia Tenggara yang perlu diberi perhatian OIC, antaranya berkaitan keselamatan di selatan Filipina, selatan Thailand dan isu pelarian Rohingya.

Beliau turut mengadakan pertemuan dua hala di luar persidangan OIC itu, antaranya dengan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu dan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir.

ARTIKEL YANG SAMA