Bantu pelajar berkeperluan khas

Bantu pelajar berkeperluan khas

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Persatuan Siswazah Wanita (PSW), baru-baru ini, telah menghulurkan bantuan di bawah Projek Bantuan Bahan Pengajaran bagi Pelajar Berkeperluan Khas Sekolah Rendah Puni dan seterusnya melaksanakan Program Anak Angkat Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Daerah Temburong.

Majlis penyerahan bantuan telah diadakan di Dewan Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zaman bin Haji Gapar.

Yang Di-Pertua PSW, Pengiran Hajah Zubaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin dalam ucapannya menjelaskan bahawa sumbangan projek bantuan tersebut merupakan salah satu titik tolak untuk menjalin usaha kerjasama lebih kukuh dan bantu membantu demi pembelajaran para penuntut sekolah.

Menurutnya, salah satu matlamat PSW adalah untuk membantu murid-murid melalui projek persatuan ‘TAJAKA’ atau Projek Menaja Kanak-Kanak yang merupakan salah satu projek yang mula diperkenalkan pada tahun 2000 di bawah Projek Kemegahan Persatuan Siswazah ‘Save Our Children’ dengan menumpukan kepada kanak-kanak berkeperluan untuk mendapatkan bantuan pendidikan.

Pengiran Hajah Zubaidah bergambar ramai bersama para pelajar yang menerima bantuan dan guru-guru sekolah berkenaan.
Pengiran Hajah Zubaidah bergambar ramai bersama para pelajar yang menerima bantuan dan guru-guru sekolah berkenaan.

Projek ini dikembang luaskan lagi pada tahun lalu di Sekolah Rendah Puni dan tahun ini, persatuan dapat melaratkan lagi program bantuan bagi memberikan sokongan kepada perlaksanaan dan kemapanan Program Anak Angkat yang dijalankan di Sekolah Rendah Sultan Hashim, jelas Pengiran Hajah Zubaidah lagi.

Matlamat persatuan adalah bagi membantu Sekolah Rendah Sultan Hashim khususnya dalam usaha untuk mencapai sasaran dan meningkatkan pencapaian PSR pada tahun 2016.

Pengiran Hajah Zubaidah melahirkan harapan agar Program Anak Angkat ini akan diteruskan dari tahun ke tahun dan akan dicontohi oleh sekolah-sekolah lain bersesuaian dan mengikut kemampuan persatuan.

Majlis diikuti dengan tayangan slaid mengenai Program Anak Angkat dan Penyampaian Projek Bantuan daripada PSW, sebelum diakhiri dengan lawatan pameran pelajar yang menyertai Program Anak Angkat.

ARTIKEL YANG SAMA