Bantu pelajar tingkatkan prestasi dalam Matematik

Bantu pelajar tingkatkan prestasi dalam Matematik

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (BSB) telah menganjurkan perjumpaan dalam kalangan guru-guru Matematik di seluruh sekolah Arab di Brunei bersama penceramah motivasi Matematik, Che Man dari Syarikat Ilmas Training & Tutorial.

Perjumpaan di Bilik Muzakarah, Sekolah Persediaan Arab BSB itu dipengerusikan oleh Guru Besar Sekolah Persediaan Arab BSB, Dayang Sarimah binti Haji Ahmad.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab, Pengiran Hajah Masrelawati binti Pengiran Mohd Said; Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Profesional Sekolah Arab, Hajah Hajijah binti Haji Moktal; dan pegawai Jabatan Pengajian Islam, Pengiran Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.

Wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Pengarah Projek, SEPADU, Haji Abdul Aleem bin Haji Abdullah juga hadir dalam perjumpaan berkenaan.

Antara agenda utama perjumpaan ini adalah pembentangan laporan daripada Che Man berkenaan program khas Matematik bagi pelajar lemah sifir yang telah diadakan pada Mei lalu.

Perjumpaan yang berlangsung di Jabatan Pengajian Islam, KHEU.
Perjumpaan yang berlangsung di Jabatan Pengajian Islam, KHEU.

Seramai 14 orang pelajar terpilih mengikuti program berkenaan yang diadakan selama lima hari bermula 30 April hingga 7 Mei 2016.

Menurut Che Man, antara masalah utama pelajar tidak suka subjek Matematik adalah mereka tidak memahami formula atau kaedah yang digunakan, pelajar juga tidak memahami sepenuhnya penerangan guru dalam kelas dan ada pelajar yang tidak faham soalan disebabkan faktor Bahasa Inggeris.

“Punca utama pelajar lemah Matematik ialah pelajar tidak hafal dan kuasai sifir dan seterusnya benci kepada subjek Matematik,” katanya lagi.

Program diteruskan lagi dengan sesi perbincangan bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan sifir di sekolah dan seterusnya sesi soal jawab.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pihak JPI menyampaikan penghargaan kepada Che Man dan guru-guru Matematik sekolah Arab kerana sudi bersama-sama mencari penyelesaian terbaik bagi meningkatkan minat pelajar-pelajar terhadap subjek Matematik seterusnya akan membantu meningkatkan prestasi pelajar itu sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA