Bantu pesakit memerlukan darah

Bantu pesakit memerlukan darah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Seramai 17 orang penduduk Kampung Masin, telah menyertai kempen menderma darah yang julung-julung kalinya diadakan oleh Masjid Kampung Masin dengan kerjasama Unit Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di masjid kampung berkenaan, hari ini.

Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Masin, Awang Mohd Zahid Zakwan ketika ditemu bual Media Permata berkata, komitmen untuk menghulurkan bantuan kebajikan dan khidmat bakti kepada masyarakat bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-32 tahun itu dibukakan kepada semua penduduk kampung yang berdekatan dan juga orang ramai.

“Membudayakan sifat tolong menolong sesama sendiri adalah perkara yang sangat digalakkan dalam Islam, apatah lagi membantu atau menolong mereka yang memerlukan darah terutama sekali kepada para pesakit selepas melakukan pembedahan atau kemalangan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, daripada 17 orang penderma darah tersebut, hanya lapan orang sahaja yang tidak memenuhi syarat-syarat untuk menderma darah.

Antara penduduk kampung yang menyertai kempen derma darah tersebut.
Antara penduduk kampung yang menyertai kempen derma darah tersebut.

pg07_160409_b

Kempen tersebut bertujuan bagi membantu menambah bekalan darah di Hospital RIPAS bagi pesakit yang memerlukan, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung dan pihak masjid sebagai usaha berterusan untuk menabur bakti dan membantu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, pihak Hospital RIPAS juga menasihatkan para penderma supaya makan terlebih dahulu sebelum menderma darah, tidak terlibat dalam sebarang kegiatan berisiko seperti mengambil dadah secara suntikan, bertukar-tukar pasangan seks, mengambil atau memakan ubat-ubatan dan kali terakhir menderma adalah sekurang-kurangnya tiga bulan yang lepas. Manakala bagi penderma wanita pula, tidak terdiri daripada mereka yang mengandung, tidak datang haid dan tidak menyusukan anak.

ARTIKEL YANG SAMA