Bantu pilih modul terbaik

Bantu pilih modul terbaik

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Fakulti Sains di Universiti Brunei Darussalam (UBD) tahun ini menjangkakan kemasukan kira-kira 200 orang pelajar-pelajar baru bagi pengambilan pada bulan Ogos ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Dekan Sains di UBD, Dr Rahayu Sukmaria binti Haji Sukri semasa sesi temu bual bersama media di Bangunan Fakulti Sains, UBD hari ini. Temu bual hari ini bertujuan untuk memberikan maklumat mengenai persediaan UBD’s Freshers Week yang akan diadakan pada 27 Julai ini sehingga 2 Ogos 2015.

Menurut Dr Rahayu, dengan pengambilan pelajar-pelajar baru ini mereka akan ditawarkan dengan enam mata pelajaran program yang berbeza iaitu Matematik, Sains Biologi, Komputer Sains, Kimia, ‘Applied’ Fizik dan Geologi.

“Selain program ditawarkan ini, Fakulti Sains kini mengadakan sebuah program baru dikenali Streams iaitu pengkhususan dalam program. Program ini merupakan perkembangan terbaru diadakan pada pengambilan pelajar tahun lepas.”

Dari segi pembelajaran di UBD, dalam tahun pertama pengajian para pelajar, mereka dijangka untuk mengambil modul yang bukan berkaitan subjek sains agar mereka diberikan pendedahan secukupnya di dalam dan di luar fakulti tersebut. Sementara itu, semasa mereka memasuki Tahun 3, para pelajar akan melalui program “Discovery Year”.

Dr Hajah Asiyah az-Zahra semasa ditemu bual.
Dr Hajah Asiyah az-Zahra semasa ditemu bual.
Dr Rahayu Sukmaria semasa ditemu bual.
Dr Rahayu Sukmaria semasa ditemu bual.

Dr Rahayu menjelaskan lagi bahawa pada masa ini, budaya pembelajaran adalah sangat mencabar dan berbeza berbanding di tahun-tahun sebelumnya sambil menyeru para pelajar agar mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal semasa bermulanya Freshers Week agar mereka dapat membuat keputusan sebaiknya dalam memilih modul-modul yang ingin dipelajari nanti.

Sementara itu, Pemangku Dekan Fakulti Seni dan Sains Sosial, Dr Hajah Asiyah az-Zahra binti Haji Ahmad Kumpoh pula semasa ditemu bual menjelaskan, Fakulti Seni dan Sains Sosial kini menampung lebih 1,200 orang pelajar dari Tahun 1 sehingga Tahun 4. “Bagi Freshers Week bulan Ogos ini, kami menjangkakan kemasukan lebih 400 orang pelajar baru bagi Fakulti Seni dan Sains Sosial.”

Fakulti Seni dan Sains Sosial kini menawarkan lapan jenis program-program utama iaitu Kajian Sejarah Antarabangsa, Sosiologi Antropologi, Bahasa Melayu dan Linguistik, Kesasteraan Melayu, Bahasa Inggeris dan Linguistik, Kesusasteraan Inggeris dan Seni & Kreatif Teknologi.

“Tahun pertama bagi pengambilan pelajar baru adalah merupakan ‘Foundation Year’ di mana para pelajar diberikan peluang untuk menerokai beberapa program yang berbeza.”

Menurut beliau, salah satu kekuatan GenNext program adalah para pelajar bukan sahaja memberikan tumpuan kepada program utama mereka, malah, mereka mempunyai pengetahuan baru dengan mengambil modul yang lain daripada fakulti di luar yang ditawarkan melalui UBD.

Salah satu kemahiran yang dapat diperolehi melalui Fakulti Seni dan Sains Sosial ialah kemahiran pemikiran kreatif, pemikiran bebas dan juga pemikiran kritikal. Sehubungan itu UBD akan sentiasa mengalu-alukan kedatangan para pelajar yang inginkan bantuan untuk memilih modul terbaik untuk mereka, dan para pelajar dinasihatkan untuk sentiasa mempunyai minda yang terbuka terhadap peluang-peluang yang akan diberikan semasa mereka memulakan pengajian di UBD nanti.

ARTIKEL YANG SAMA