Bantu PKS tempatan keluar dari zon selesa

Bantu PKS tempatan keluar dari zon selesa

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Bagi menyediakan maklumat dan pemahaman amalan yang lebih baik dalam melaksanakan perniagaan, Kolej International Graduate Studies (KIGS) telah menganjurkan bengkel usahawan sehari bertajuk ‘Minds Young, Big Change’ di Kiulap, hari ini dengan menampilkan Hiro Thien dan King Seh Hong dari kolej itu yang telah berjaya dalam perniagaan mereka.

Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia KIGS, Haji Affendi bin Haji Mohd Salleh berkata, PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) di Brunei Darussalam ditakrifkan sebagai perusahaan yang menggunakan antara enam hingga100 pekerja, yang merangkumi 48 peratus daripada semua perniagaan manakala 50 peratus adalah perniagaan mikro yang mempunyai seorang hingga lima pekerja.

“PKS boleh didapati dalam pelbagai sektor dan kerajaan terus memberi penekanan yang lebih kepada pembangunan PKS yang bukan sahaja telah dikenalpasti sebagai pemain utama dalam pembangunan perindustrian tetapi juga disebabkan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara dan potensi pertumbuhan yang kukuh dengan kemunculan minda muda khususnya,” kata beliau.

“Meningkatkan pembangunan PKS dan daya saing masih menjadi isu kritikal perhatian dan kebimbangan pembuat dasar pada peringkat serantau dan global dan PKS di seluruh dunia menghadapi pelbagai cabaran untuk berkembang dan berjaya.

“Negara ini terus bekerja dengan apa sahaja cara untuk menentukan hala tuju masa depan PKS bagi membolehkannya menjadi lebih berkesan dan dinamik khususnya menghadapi cabaran dalam semua aspek pembangunan perniagaan.

Haji Affendi ketika memberikan ucapan alu-aluan.
Haji Affendi ketika memberikan ucapan alu-aluan.
Antara peserta yang menyertai bengkel.
Antara peserta yang menyertai bengkel.

“Ini termasuk membangunkan kemahiran kewangan mereka. Kekurangan akses pasaran serta kepakaran bagi membantu PKS tempatan keluar dari zon selesa merupakan salah satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi membantu mereka meneroka pasaran serantau dan antarabangsa,” kata beliau lagi.

Beliau turut menyatakan, sebagai pelan pembangunan jangka panjang yang mengiktiraf peranan strategik dan kepentingan kepelbagaian dalam pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara, Wawasan 2035 setakat ini mempunyai banyak inisiatif penting dan berguna yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan sektor swasta.

Seperti anggota negara-negara ASEAN dan APEC yang lain dan seluruh dunia, Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran ekonomi, dan pembangunan PKS merupakan agenda pembangunan negara selama bertahun-tahun bermula pada tahun 1989 dengan penubuhan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama.

Wawasan Brunei 2035 telah dibangunkan untuk memberi tumpuan kepada bidang jangka panjang realistik pertumbuhan ekonomi yang merangkumi empat bidang pembangunan PKS iaitu membantu PKS dan usahawan untuk mendapatkan dan meningkatkan pembinaan kapasiti mereka, menubuhkan pusat inkubator untuk membantu dan menggalakkan PKS tempatan, menggalakkan dan menyelaras penyertaan tempatan dalam aktiviti perniagaan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi PKS tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA