Bantu sampaikan masalah penduduk

Bantu sampaikan masalah penduduk

SANDAKAN, 6 Nov (Bernama) – Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di setiap Dewan Undangan Negeri perlu menyampaikan masalah dihadapi rakyat dan kekurangan daripada segi pembangunan di kawasan masing-masing kepada wakil rakyat untuk tindakan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata pelantikan jawatan itu adalah satu tanggungjawab besar sebagai penghubung kepada rakyat untuk menyampaikan masalah dan kekurangan di kawasan mereka kepada kerajaan.

Katanya ini memerlukan setiap PPM sentiasa berada di kawasan masing-masing bagi memudahkan masyarakat berjumpa dengan mereka.

“Saya tidak mahu ada pemimpin jarang berada di kawasan mereka, ini bertentangan dengan tugas mereka sebagai pemimpin akar umbi untuk menyampaikan masalah rakyat kepada kerajaan menerusi wakil rakyat,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Bersama Pemimpin Masyarakat Zon Sandakan di sini, hari Jumaat.

Datuk Seri Musa Aman (kanan) ketika menyampaikan bantuan kewangan kepada badan-badan kebajikan di Sabah. – Bernama
Datuk Seri Musa Aman (kanan) ketika menyampaikan bantuan kewangan kepada badan-badan kebajikan di Sabah. – Bernama

Unit PPM ditubuhkan pada tahun 1981 di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah untuk menerangkan dasar, matlamat, proses perancangan dan pelaksanaan program dan jentera pembangunan kepada rakyat.

Musa turut mengingatkan Ketua PPM di setiap DUN di Sabah agar bekerja secara bertanggungjawab dan bukannya untuk mendapatkan jawatan sahaja.

“Jangan jadi ketua sahaja tetapi tidak bekerja hingga menyukarkan rakyat di kawasan mereka untuk berjumpa,” katanya. Beliau berkata PPM juga merupakan antara landasan kerajaan negeri dalam menyampaikan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat.