Bantu tambah simpanan darah

Bantu tambah simpanan darah

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Pusat Menderma Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) berjaya mengumpul sebanyak 13,216 pain darah sepanjang tahun lalu berbanding dengan 12,847 pain pada tahun 2014.

Jurucakap pusat berkenaan memberitahu, jumlah tersebut terus meningkat pada enam bulan pertama tahun ini namun begitu, permintaan terhadap darah masih tinggi dan semakin meningkat.

Dari segi pecahan kumpulan darah pula, 39 peratus daripada darah yang dikumpul sepanjang 2015 adalah darah jenis O, diikuti dengan darah jenis B sebanyak 31 peratus, darah jenis A (23 peratus) dan darah jenis AB (7 peratus), katanya kepada Media Permata ketika ditemui semasa Kempen Derma Darah anjuran Brunei Press di Bangunan Brunei Press Commercial Printing Services, Perindustrian Beribi, Gadong, hari ini.

Kempen tersebut merupakan salah satu inisiatif amal di bawah program tanggungjawab sosial korporat Brunei Press dengan kerjasama Pusat Menderma Darah Hospital RIPAS untuk membantu mengisi Bank Darah Hospital RIPAS.

Sementara itu, Penyelia Simpanan Darah, Pusat Menderma Darah Hospital RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud ketika ditemui berkata, mereka mengalu-alukan orang ramai daripada pelbagai agensi atau persatuan untuk menderma darah di Pusat Menderma Darah.

Semasa kempen derma darah dijalankan di Bangunan Brunei Press Commercial Printing Services, Perindustrian Beribi, Gadong.
Semasa kempen derma darah dijalankan di Bangunan Brunei Press Commercial Printing Services, Perindustrian Beribi, Gadong.
Haji Matusop ketika memeriksa kesihatan salah seorang penderma darah.
Haji Matusop ketika memeriksa kesihatan salah seorang penderma darah.

Beliau berharap mereka akan dapat mengumpulkan sebanyak 50 pain darah sehari untuk kegunaan bagi para pesakit.

Menurut beliau, Pusat Menderma Darah bukan sahaja tertumpu di Hospital RIPAS, bahkan mereka juga dijemput bagi mengisi acara-acara kemeriahan di sekolah-sekolah dan agensi kerajaan serta swasta dalam sama-sama mengumpul darah bagi membantu pesakit yang memerlukan darah.

Kempen Derma Darah yang diadakan hari ini membuka peluang kepada warga Brunei Press dan QAF untuk sama-sama menderma darah dalam membantu Pusat Menderma Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital RIPAS untuk mengutip darah yang diperlukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Dengan bertemakan ‘Give Blood Save Lives’ ini, kempen derma darah ini diharap akan diteruskan pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA