Bantu tangani isu beras plastik

Bantu tangani isu beras plastik

BORACAY, Filipina, 25 Mei (Agensi) – Naib Menteri Perdagangan China Wang Shouwen dalam perbincangan dua hala dengan Menteri Perdagangan Indonesia Rachmat Gobel berjanji akan membantu negara itu menangani penyebaran beras plastik yang dipercayai di seludup masuk ke negara itu dari China.

Perbincangan dua hala berkenaan berlangsung pada sesi berasingan Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan APEC di sini pada hujung minggu, menurut Kementerian Perdagangan Indonesia dalam satu kenyataan.

Gobel memberitahu rakan sejawatannya dari China bahawa kes beras plastik menimbulkan kebimbangan yang besar di kalangan warga Indonesia.

Wang melahirkan keprihatinannya dan memahami masalah yang dihadapi kerajaan Indonesia dalam berdepan dengan masalah yang rumit itu serta berjanji untuk membantu Jakarta menangani masalah beras plastik tersebut.

Wang berkata kerajaan China hanya memberikan lesen untuk mengeksport beras sebuah syarikat milik kerajaan, jadi adalah mudah untuk mengesan pengeksportan beras plastik berkenaan.

Naib Menteri Perdagangan China Wang Shouwen.
Naib Menteri Perdagangan China Wang Shouwen.

China akan menyampaikan maklumat mengenai segala kemajuan mengenai penyiasatan yang mereka lakukan kepada kerajaan Indonesia dengan secepat mungkin.

Wang berkata Indonesia adalah salah sebuah rakan dagangan strategik China.

Sementara itu Presiden Joko Widodo sebelum ini dilaporkan berkata ujian makmal sedang dijalankan sekarang untuk memeriksa dakwaan beras tiruan diperbuat daripada plastik.

“Beras tersebut kini sedang diuji di tiga makmal termasuk sebuah di Institut Pertanian Bogor. Kita perlu menunggu keputusannya,” kata Presiden Jokowi.

Beliau berkata adalah tidak logik jika penyebaran beras plastik adalah untuk meraih keuntungan kerana harganya adalah lebih mahal berbanding beras sebenar.

“Kita kasih mengkaji isu ini. Jangan membuat sebarang ulasan jika ia tidak memberikan jalan penyelesaian,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA