Bantu tonjol bakat belia tempatan

Bantu tonjol bakat belia tempatan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Dalam usahanya untuk sama-sama membantu dan menyokong belia-belia tempatan dan usahawan-usahawan tempatan, Progresif telah turut serta dalam acara BWN Street Fest yang berlangsung di kawasan letak kereta Jalan Bendahara berseberangan dengan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja, di sini, hari ini.

Acara yang dianjurkan oleh Big BWN Cookout itu adalah bagi mempromosikan makanan dan minuman hasil buatan belia-belia tempatan serta kalangan belia yang sama-sama mempersembahkan pelbagai bakat mereka dalam seni, fesyen, muzik dan sukan.

Antara usahawan tempatan yang turut serta pada pesta itu ialah Lokal Ground, The Karma, HZR BBQ Services, Vastpot Icecream, Coulee, Funkey Monkey, Burgers, Wardrobes Inc dan Sneaker Trailer.

Aktiviti-aktiviti berkenaan termasuklah seni jalanan, demonstrasi grafiti dan ‘Doodle Jam’ oleh Stain BN dan Sketchone Studios, ‘Spotlight’ oleh Neon Borneo, klinik bola keranjang dan beberapa aktiviti permainan oleh Shooting Stars Brunei, demonstrasi kalistenik oleh Mairgix Brunei dan permainan papan luncur oleh Uneek Skateshop.

Semasa acara itu, Progresif turut memperkenalkan pelan terbaru mereka.
Semasa acara itu, Progresif turut memperkenalkan pelan terbaru mereka.
Antara pelajar yang menerima hadiah daripada Progresif yang disampaikan oleh Dayang Hafiza (dua kanan).
Antara pelajar yang menerima hadiah daripada Progresif yang disampaikan oleh Dayang Hafiza (dua kanan).

Pengurus Komunikasi Korporate Progresif, Dayang Hafiza binti Mohamad berkata, tujuan utama Progresif adalah untuk bersilaturahim dan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat dan ini adalah salah satu cara terbaik dengan menyokong acara yang dianjurkan oleh belia-belia Brunei.

Pada acara itu, Progresif juga memiliki pondok mereka dan mengadakan pengenalan Pelan Uni iaitu pelan terkini Progresif untuk pelajar-pelajar universiti tempatan berusia 18 hingga 30 tahun.

Pelan yang akan mula dijual pada 2 Oktober ini, terdapat dalam pelan mingguan untuk $7 setiap minggu atau pelan bulanan bagi $25 sebulan.

Sementara itu, penyelaras acara tersebut, Dayang Noorhafizah binti Haji Rashid ketika ditemui berkata, BWN Street Fest diadakan untuk membantu para belia mendedahkan perniagaan mereka sekali gus bakat-bakat mereka yang selama ini tersimpan.

“Di samping itu, kami juga ingin menyokong belia-belia tempatan untuk melakukan aktiviti sihat dan menukar perspektif masyarakat mengenai aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh belia-belia ini seperti ‘skateboard’ ataupun seni grafiti,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA