Bantuan $19 juta untuk Pakistan

Bantuan $19 juta untuk Pakistan

ISLAMABAD, 6 Mei (AFP) – Menteri Luar Negeri Australia, Julie Bishop yang berkunjung ke negeri itu, hari ini telah mengumumkan pakej bantuan sebanyak $19 juta bagi Pakistan yang termasuk bantuan bagi kawasan sempadan yang dilanda konflik dan bencana alam.

Bishop telah membuat jaminan itu semasa lawatan dua hari ke Islamabad, di mana beliau mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya Pakistan, Sartaj Aziz atas usaha untuk menangani militan, masa depan Afghanistan dan laporan meningkat mengenai kumpulan Islamic State (IS) di rantau itu.

Pakej bantuan itu termasuk $8 juta untuk membantu memulihkan semula infrastruktur yang rosak akibat banjir dan konflik di barat laut dan barat daya yang bergolak, dan sekitar $8 juta untuk menyokong inisiatif perdagangan dalam kerjasama dengan Bank Dunia.

Belum lagi diumumkan di mana lebihan bantuan itu akan dibelanjakan.

Bishop menambah kedua-dua buah negara itu ‘memiliki kepentingan yang sama dalam membanteras jenayah transnasional termasuk penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.’

Sartaj Aziz (kanan) tiba bersama Julie Bishop di Kementerian Luar Negeri Islamabad. – AFP
Sartaj Aziz (kanan) tiba bersama Julie Bishop di Kementerian Luar Negeri Islamabad. – AFP

Beribu-ribu etnik Hazara Syiah pada beberapa tahun kebelakangan melarikan diri dari wilayah barat daya Baluchistan dan menuju ke Australia, yang mana pada 2013 operasi diketuai tentera telah diperkenalkan untuk mengembalikan bot yang membawa pencari perlindungan itu sebelum mereka tiba di benua tersebut.

Bishop juga mengatakan dia akan menggalakkan pelancongan Australia ke Pakistan, yang sudah berjuang melawan pemberontak tanah air selama berdekad-dekad.

“Hubungan manusia ke manusia adalah penting dan sudah pasti kami mahu melihat Pakistan sebagai tempat yang selamat dan persekitaran yang terjamin oleh itu anda boleh terlibat dengan pengunjung antarabangsa,” katanya.

Berkaitan dengan pertubuhan IS, yang telah merampas kebanyakan wilayah di Iraq dan Syria, Bishop mengatakan: “Kami percaya terdapat sekitar 100 pengganas asing dari Australia pada masa ini di Iraq dan Syria menyokong….persatuan pengganas dan kejam ini.”