Bantuan AAC melalui Pasar Amal

Bantuan AAC melalui Pasar Amal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Jun – Bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan, Maktab Anthony Abell (AAC) akan mengendalikan aktiviti Pasar Amal ‘As-Souq Al-Majani bersama Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) A-Team sekolah itu dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tahun 2016.

Pelancaran aktiviti tersebut akan diadakan pada 21 Jun, di mana seramai 300 orang pelajar AAC yang dikenal pasti memerlukan bantuan, terdiri daripada pelajar-pelajar Miftahun Najaah (di bawah bantuan Kementerian Pendidikan), anak-anak yatim dan pelajar yang memegang kad pengenalan hijau yang kurang berkemampuan, akan menerima sumbangan tersebut.

Sementara itu, hari ini, dua buah syarikat tempatan yang terlibat memberikan sumbangan bagi Pasar Amal AAC itu nanti telah menyerahkan barangan sumbangan mereka kepada pihak sekolah yang disaksikan oleh Pengetua AAC, Dayang Mas Diana dan guru-guru lainnya.

Syarikat-syarikat berkenaan ialah Syarikat Massutera Engineering Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan syarikat, Haji Muhd Alfie bin Omar dan Syarikat Ya Nur Trading Sdn Bhd yang juga diwakili oleh Pengarah Urusannya, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad.

Pengetua AAC, Dayang Mas Diana binti Abdul Samat memberitahu Media Permata, Pasar Amal itu diadakan untuk mendidik para pelajar sekolah terutama pelajar PRS supaya prihatin kepada masyarakat dan bagaimana membantu mereka yang susah.

Pengarah Urusan Syarikat Massutera Engineering Sdn Bhd menyerahkan sumbangan mereka kepada Dayangku Mas Juleana.
Pengarah Urusan Syarikat Massutera Engineering Sdn Bhd menyerahkan sumbangan mereka kepada Dayangku Mas Juleana.

Menurut beliau lagi, melalui aktiviti tersebut, pihak sekolah telah membuka ruang dan peluang dalam membantu pelajar dan bukan hanya melibatkan warga sekolah tetapi juga bersama masyarakat luar, termasuk syarikat-syarikat yang mahu menyumbangkan bantuan berupa keperluan asasi dan sebagainya kepada pelajar berkenaan.

“Sekolah kami juga mempunyai aktiviti ‘AAC Care’, dan Tabung Kebajikan Pelajar yang melibatkan kutipan sumbangan daripada guru-guru. Tetapi melalui Pasar Amal, pihak sekolah memberikan peluang kepada komuniti di luar sana tampil memberikan sumbangan yang diperlukan,” jelas beliau lagi.

AAC mempunyai seramai 615 orang pelajar dan daripada jumlah tersebut seramai 300 orang dikenal pasti kurang berkemampuan.

Untuk mengurangkan masalah mereka, pihak sekolah bekerjasama rapat dengan PIBG dan telah melakukan inisiatif program Reach Out, dengan mengunjungi rumah-rumah pelajar yang kurang berkemampuan kerana keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Ada juga pelajar yang terpaksa diangkat oleh nenek mereka kerana mempunyai ramai adik-beradik dan sebahagian lainnya hanya dipelihara oleh ibu mereka dan tempat tinggal seadanya seperti di Kampung Api-Api dan Kampung Jabang.

Terdapat juga pelajar yang tinggal di Kampung Jabang menerima bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan tinggal di Berek Kerajaan Lorong Tiga, dan pihak sekolah bersama PIBG telah pun membuat Reach Out untuk membantu mereka.

“Sekolah juga menerima bantuan sebuah syarikat yang menyumbangkan makanan kepada pelajar yang dikenal pasti memerlukan bantuan dalam seminggu sekali. PIBG pula menyumbangkan makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan minuman.

“Walaupun ramai pelajar yang memerlukan yang sudah dikenal pasti, tetapi ada juga yang tidak meminta bantuan kerana mereka tinggal jauh seperti di RPN Panaga. Mereka turut menerima sumbangan berkenaan,” tambah Dayang Mas Diana.

Daripada 10 orang pelajar yang memegang kad pengenalan hijau di maktab tersebut, tiga daripada mereka sudah menerima bantuan JAPEM dan pada masa ini tinggal di Berek Kerajaan Lorong Tiga Seria.

Mereka dikenakan yuran sekolah antara $15 hingga $20 tetapi turut diberikan kelonggaran oleh pihak sekolah untuk membayar pada tempoh yang diberikan.

Manakala itu, Haji Muhd Alfie ketika ditemui pula memberitahu, syarikat mereka menyumbang keperluan makanan asasi untuk 100 orang pelajar, dan barangan sumbangan adalah seperti yang telah disenaraikan oleh penganjur Pasar Amal AAC.

Menurut beliau lagi, syarikat itu juga telah memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah lain di daerah ini, seperti sumbangan berupa penghawa dingin untuk keselesaan para pelajar sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat mereka kepada masyarakat.

Sementara itu, Shaikh Khalid pula merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah yang telah memberikan beliau peluang menghulurkan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan di sekolah tempat beliau belajar dahulu.

“Saya berharap sumbangan kami ini akan dimanfaatkan untuk keperluan sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. Saya juga berharap lebih ramai individu dan syarikat lain untuk tampil dalam menyokong usaha berkebajikan pihak sekolah terutama pada bulan Ramadan Al-Mubarak ini.

“Bantuan kami ini tidak mengira agama dan bangsa tetapi sama rata bagi membantu mereka yang memerlukan dan saya berharap akan diberikan peluang lagi membantu mereka pada masa akan datang,” kata Shaikh Khalid.

Aktiviti Pasar Amal mementingkan konsep penyumbang dan penerima menggunakan kaedah aktiviti khidmat masyarakat sebagai salah satu cara menyalurkan bantuan selain mengeratkan silaturahim antara warga sekolah sama ada dengan penyumbang dan penerima dan mendokong hasrat Jabatan Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya AAC untuk melahirkan ahli Kumpulan A PRS AAC yang berkaliber dan berwibawa serta mempunyai sifat-sifat positif yang dikehendaki sejajar dengan objektif PRS.

ARTIKEL YANG SAMA