Bantuan diperlukan ketam bulu biri-biri

Bantuan diperlukan ketam bulu biri-biri

SYDNEY, 2 Sept (AFP) – Pegawai kebajikan haiwan Australia hari ini mengeluarkan satu rayuan kepada pengetam bulu biri-biri setelah menemui seekor kambing biri-biri besar yang penuh ditumbuhi bulu sehingga nyawanya terancam, dengan juara negara dijangka menyahut cabaran tersebut.

Kambing biri-biri merino itu ditemui merayau-rayau sendirian berhampiran Mulligan Flats, hutan jarang berumput yang terletak di luar ibu negara Canberra, oleh orang yang bersiar-siar di kawasan itu dan mereka menghubungi pegawai RSPCA tempatan.

Pegawai bergegas ke kawasan berkenaan, tetapi terpaksa kembali pada pagi ini dengan bantuan selepas mendapati saiz kambing biri-biri yang amat besar.

“Ia pastinya salah seekor kambing biri-biri terbesar yang pernah kami lihat,” kata Tammy Ven Dange, ketua RSPCA di Wilayah Ibu Negara Australia, menambah haiwan yang masih belum diberi nama itu adalah “empat hingga lima kali lebih besar daripada saiz biasanya.”

Sejauh mana pertumbuhan bulu dan keadaan kambing biri-biri yang takut ketika berada dekat dengan orang selepas hidup bersendirian selama beberapa tahun juga bermakna anggota menyelamat masih belum dapat mengesahkan jantinanya, umur dan berat, walaupun mereka fikir ia adalah jantan.

“Ia amat tertekan buat masa sekarang. Kami cuba menenangkannya dan mudah-mudahan esok kami akan memberinya sedatif dan mengetamnya,” beritahu Ven Dange kepada AFP.

“Mudah-mudahan ia tidak terkejut ketika proses tersebut.”

Kambing biri-biri merino diternak untuk bulunya dan boleh mengalami isu kesihatan, malah mati, jika tidak diketam dengan tetap,” kata ven Dange, menjelaskan kenapa beliau meminta bantuan menerusi laman Twitter beliau.

ARTIKEL YANG SAMA