Bantuan kebajikan di Labuan menurun

Bantuan kebajikan di Labuan menurun

LABUAN, 18 Mei – Bantuan kebajikan kepada penerima yang layak di pulau bebas cukai Labuan menurun kepada RM2.9 juta tahun lepas daripada RM3.1 juta pada tahun sebelumnya.

Penurunan bantuan ini berikutan jumlah penerima yang berkurangan dan kematian yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan, kata pengarahnya, Ishak Aku Abd Rahman.

Beliau berkata proses menyalurkan bantuan kebajikan itu turut mengambil kira kelayakan penerima dan tanggungan mereka.

“Kami harap akan dapat memenuhi matlamat kami dalam membantu penerima yang layak supaya lebih berdikari,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bantuan kewangan itu disalurkan bertujuan membolehkan penerima mengekalkan pendapatan keluarga dengan memenuhi keperluan asas seharian, berdikari dan meningkatkan taraf hidup serta memastikan kumpulan sasar dapat hidup dengan sewajarnya.

Ishak berkata bantuan kebajikan kepada warga emas menurun daripada 309 orangpada Januari kepada 259 orang pada Disember tahun lepas, bantuan kanak-kanak berkurangan daripada 178 kepada 139 penerima dan bantuan am daripada 339 kepada 252 penerima. – Bernama