Bantuan kepada syarikat tempatan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bank Baiduri, hari ini, telah melancarkan Program Kemudahan Kredit BSP bagi membantu syarikat-syarikat tempatan.

Majlis yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, Empire Hotel & Country Club, Jerudong itu juga diselajurkan dengan penandatanganan perjanjian di antara BSP dengan BIBD dan Bank Baiduri.

Hadir bagi menyaksikan majlis berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil perbankan, pemimpin-pemimpin BSP dan perwakilan dari lebih 100 buah syarikat yang berdaftar sebagai vendor BSP.

Perjanjian berkenaan telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan BSP, Dr. Ceri M. Powell bagi pihak BSP, Mubashar Khokhar bagi BIBD dan Ti Eng Hui mewakili Bank Baiduri sambil disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Dato Paduka Haji Matsatejo (dua kanan) menyaksikan penandatanganan perjanjian antara Mubashar Khokhar, Dr. Ceri M. Powell dan Ti Eng Hui.
Gambar ramai tetamu kehormat bersama warga BIBD dan BSP serta pegawai-pegawai kerajaan.
Dato Paduka Haji Matsatejo melihat risalah ditampilkan di petak pameran BSP.
Tetamu kehormat menyaksikan pameran di petak BIBD.
Tetamu kehormat ketika mendengar penerangan daripada pegawai bank di petak pameran Baiduri.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Dr. Ceri M. Powell yang menyatakan penghargaannya terhadap inisiatif yang dibanggakan oleh BSP ini dengan kerjasama BIBD dan Bank Baiduri.

Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah Kewangan BSP, Rob Van Velden yang mengongsi butiran mengenai program kemudahan kredit kepada jemputan yang hadir.

“Pemacu utama di sebalik program ini adalah Ease of Doing Business (EODB) yang memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai kontrak dengan BSP,” jelas Rob Van Velden.

Tambah beliau lagi, “Di bawah Program Kemudahan Kredit BSP, Bank Baiduri dan BIBD percaya bahawa kami dapat memberikan kredit kepada perniagaan tempatan dengan lebih cepat, murah dan kukuh daripada yang ada kini melalui kerjasama lebih rapat dengan jangkaan aliran tunai yang diberikan oleh kontrak kepada rakan kongsi perniagaan.”

Perjanjian berkenaan, dalam bentuk Kenyataan Komitmen Bersama, memformalkan interaksi dan mengukuhkan hubungan antara BSP dan bank-bank (BIBD dan Baiduri Bank).

Menurut kenyataan yang diberikan, BSP, BIBD dan Bank Baiduri komited untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Brunei selaras dengan matlamat jangka masa panjang kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah Wawasan 2035 di mana mereka bersama-sama berusaha untuk memudahkan pembiayaan kepada perniagaan tempatan di bawah terma Program Kemudahan Kredit BSP.

Program tersebut akan beroperasi bagi kepentingan kontraktor tempatan BSP sedia ada dan akan datang yang memenuhi kriteria program berkenaan, membolehkan mereka membuat perkhidmatan yang cepat dalam mengkaji semula serta mengambil keputusan mengenai permohonan kredit masing-masing.

Rob Van Velden semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Hajah Rosita ketika ditemu bual oleh wartawan Media Permata.

Sejak tahun 2011, BSP secara proaktif telah komited untuk mengembangkan perniagaan tempatan di Brunei Darussalam dan meningkatkan keupayaan, kapasiti dan kemahiran mereka melalui penetapan standard prestasi yang tinggi dan memaksimumkan peluang yang tersedia kepada vendor berkenaan dengan tujuan menjadikan industri tempatan lebih kompetitif.

Ketua Bahagian Pengurusan Rangkaian Bekalan BSP, Hajah Rosita binti Haji Hassan ketika ditemui Media Permata sejurus selepas acara berkenaan menjelaskan bahawa dengan perjanjian berkenaan, terdapat maklumat tertentu yang dipersetujui untuk dikongsikan dan salah satu daripadanya adalah mengenai prestasi kontrak.

“Kami bagi pihak BSP bersama-sama dengan Bank Baiduri dan BIBD akan berkongsi lebih banyak maklumat dan secara bebas kerana ini adalah sebagai sebahagian daripada memorandum persefahaman dan juga terma syarat di mana mereka bersetuju untuk mengongsikan beberapa maklumat mengenai rakan kongsi mereka.”

Ini, menurut Hajah Rosita, supaya pihak perbankan dapat menilai secara berterusan bagaimana pengurusan risiko rakan kongsi perniagaan itu.

“Pada masa yang sama, kita juga boleh mendapatkan maklumat daripada bank, bagaimana rakan kongsi perniagaan mereka contohnya dalam hal bagaimana mereka menguruskan pinjaman mereka.

“Ini adalah satu cara juga untuk mengatasi sebarang masalah dan mencari jalan penyelesaiannya bagi kebaikan semua pihak daripada menunggu sehingga terlambat untuk mengatasinya. Lebih baik mengelakkan daripada menyembuhkan,” tambahnya lagi.

Majlis telah diakhiri dengan lawatan ke gerai-gerai dari Bahagian Pengurusan Rangkaian Bekalan BSP, BIBD dan juga Bank Baiduri.