Bantuan makanan ke Aleppo tersekat

Bantuan makanan ke Aleppo tersekat

ALEPPO, Syria, 16 Sept – Bantuan makanan kepada orang awam yang memerlukan di timur Aleppo masih tersekat di sempadan Syria hari ini, hari keempat gencatan senjata yang rapuh diusahakan oleh pihak antarabangsa pada negara yang dilanda peperangan itu.

Seorang wartawan AFP berkata tiada gerakan dapat dilihat di bawah runtuhan di kawasan Castello Road, laluan masuk utama bagi bantuan kemanusiaan ke Aleppo.

PBB berharap bahawa empat puluh trak makanan – makanan yang cukup untuk 80,000 orang selama satu bulan – boleh dihantar ke bahagian timur Aleppo yang dikuasai pemberontak dengan secepat mungkin.

Pada pagi hari ini, trak masih menunggu di sempadan Turki, kata David Swanson, jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

“Cabaran terus dihadapi – dan ini adalah realiti yang sedih – memastikan semua pihak dalam konflik itu, dan mereka yang mempunyai pengaruh ke atas mereka, berada dalam perjanjian,” katanya kepada AFP. Dianggarkan 250,000 orang masih hidup di timur Aleppo.

Gambar fail 1 September 2016 yang disediakan oleh Syria Press Center (SPC), sebuah kumpulan media anti-kerajaan, menunjukkan orang awam meninggalkan bandar Suran, di wilayah Hama, Syria. – AP
Gambar fail 1 September 2016 yang disediakan oleh Syria Press Center (SPC), sebuah kumpulan media anti-kerajaan, menunjukkan orang awam meninggalkan bandar Suran, di wilayah Hama, Syria. – AP

Di bawah perjanjian gencatan senjata AS-Rusia, Castello Road menuju ke kawasan kejiranan itu adalah bebas tentera dan konvoi bantuan akan masuk dari Turki.

Rusia kelmarin berkata tentera kerajaan telah mula menarik diri dari kawasan itu dan menuduh pejuang pemberontak gagal mematuhi seperti yang dipersetujui.

Panggilan perjanjian gencatan senjata akan diperbaharui setiap 48 jam. Lebih daripada 300,000 orang telah terbunuh sejak konflik Syria tercetus pada Mac 2011. – AFP