Bantuan makanan tiba di Syria

Bantuan makanan tiba di Syria

DAMSYIK, 10 Jun – Konvoi bantuan makanan memasuki bandar Daraya di Syria, penghantaran pertama sejak bermulanya kepungan oleh tentera rejim Damsyik pada 2012, kata pegawai Bulan Sabit Merah.

“Muatan sembilan lori kini sedang dipunggah di Daraya. Mereka membawa bantuan makanan, termasuk makanan kering dan tepung, bantuan bukan makanan selain perubatan,” kata pengarah operasi Bulan Sabit Merah Syria, Tamam Mehrez.

Penghantaran bantuan mencukupi untuk sebulan, kata Mehrez, tanpa menjelaskan berapa ramai yang akan mendapat manfaat daripadanya.

Awal hari ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata Syria memberikan kebenaran kepada konvoi kemanusiaan untuk sampai ke semua 19 kawasan dikepung di negara itu, termasuk Daraya, menjelang akhir bulan ini.

Anggota Pasukan Bulan Sabit Merah memunggah barangan bantuan untuk penduduk Syria di Daraya kelmarin. – AFP
Anggota Pasukan Bulan Sabit Merah memunggah barangan bantuan untuk penduduk Syria di Daraya kelmarin. – AFP

Majlis tempatan Daraya menyiarkan video menunjukkan apa yang digambarkan sebagai kenderaan PBB memasuki bandar itu pada tengah malam.

Anggaran 8,000 penduduk tinggal di Daraya, satu daripada bandar pertama di Syria menyaksikan tercetusnya demonstrasi antikerajaan pada 2012 dan antara yang berada dalam kepungan rejim tahun sama. – AFP