Bantuan mangsa bencana ribut diteruskan

Bantuan mangsa bencana ribut diteruskan

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 12 Julai – Dalam kejadian ribut taufan Jumaat lalu, Daerah Temburong turut tidak terlepas daripada dibadai angin kencang, di mana beberapa aduan diterima mengenai kerosakan atap rumah.

Berikutan daripada kejadian itu, Pusat Bencana Alam Kebangsaan (NDMC) melalui Jabatan Daerah Temburong terus menghulurkan bantuan kepada mangsa di daerah ini.

Penolong Penguasa Bomba, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Operasi ‘G’ Bangar, ASFR Abdul Harith bin Samad, melaporkan sebanyak enam aduan telah diterima berikutan kejadian berkenaan dan kesemuanya mengenai kerosakan atap rumah, dengan sebuah di Kampung Semabat, sebuah di Kampung Bokok, dua di Kampung Buda Buda, sebuah di Kampung Gadong Baru dan sebuah lagi di Kampung Lakiun.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Operasi ‘G’ Bangar dan Rataie, segera membantu mangsa dengan menutup bahagian yang terjejas dengan kanvas.

Tinjauan pagi tadi mendapati beberapa buah rumah telah pun dipulihkan semula seperti sedia kala dan sebahagiannya sedang dalam pembaikan atas bantuan NDMC yang diselaraskan oleh Jabatan Daerah Temburong yang membekalkan bahan binaan, kayu dan atap serta tenaga manusia.

Rumah Haji Jumat sewaktu kerja-kerja pembaikan semula dilakukan di Kampung Bokok.
Rumah Haji Jumat sewaktu kerja-kerja pembaikan semula dilakukan di Kampung Bokok.

Haji Jumat bin Haji Badar, 75, berkata sepanjang tinggal di rumahnya lebih 30 tahun dan ini adalah kali pertama ribut kencang menjejaskan rumah mereka di Kampung Bokok termasuk tiga kali terjejas akibat banjir kilat.

Ketika kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, beliau dan isteri yang sedang menyediakan api untuk mendadih kelupis untuk hidangan Hari Lebaran nanti, tiba-tiba dikejutkan dengan angin kencang dan menerbangkan keseluruhan atap rumah mereka.

Beliau dan keluarga meluahkan perasaan sangat bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan segera dan pemedulian yang diberikan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap penduduk dan rakyat di negara ini.

Keadaan rumah Awang Jusli di Kampung Gadong Baru yang turut menerima bantuan pembaikan semula atap rumah.
Keadaan rumah Awang Jusli di Kampung Gadong Baru yang turut menerima bantuan pembaikan semula atap rumah.

Seorang lagi mangsa di Kampung Gadong Baru, Awang Jusli bin Sulong, menceritakan bahawa segala persiapan untuk hari Lebaran telah siap sedia dan hanya mampu bersabar dengan kejadian yang menimpa rumah mereka apabila angin kencang yang disertai hujan lebat membasahi seluruh rumah kira-kira pukul 4.15 petang pada hari kejadian.

Menurutnya, ketika itu, beliau bergegas mendapatkan isteri dan anak yang tinggal di rumah, dan mendapati atap pantaran rumah mereka diterbangkan angin disusuli hambatan kedua yang melenyapkan seluruh atap rumah termasuk kabel lampu cucul sekali gus memutuskan bekalan elektrik ke seluruh kawasan kampung berkenaan.

Ketika ditemui, pagi tadi, beliau menyatakan harapan agar pembaikan akan siap sebelum lebaran dan turut bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan segera daripada Jabatan Daerah Temburong, Jabatan Perkhidmatan Elektrik khususnya NDMC.

ARTIKEL YANG SAMA