Bantuan mencurah selepas gambar tersebar

Bantuan mencurah selepas gambar tersebar

PHILIPPINES-INTERNET-POVERTY-CHILDREN

MANILA, 11 Julai (AFP) – Seorang budak warga Filipina (gambar) yang tidak mempunyai tempat tinggal menerima banyak sekali bantuan selepas gambarnya yang memilukan tersebar meluas di Internet yang memperlihatkan dia belajar di laluan jalan kaki dan menggunakan cahaya kelam dari cawangan McDonald’s.

Daniel Cabrera berusia sembilan tahun akan dapat mencapai impiannya menjadi anggota polis selepas derma wang tunai, peralatan sekolah dan biasiswa kolej mencurah masuk, kata ibunya, Christina Espinosa memberitahu AFP, hari ini.

“Kami amat gembira. Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan dengan semua rahmat ini,” pekerja kedai runcit dan juga pembantu rumah berusia 42 tahun itu memberitahu AFP.

“Kini, Daniel tidak lagi akan berdepan kesukaran untuk menamatkan pembelajarannya.”

Gambar yang dimasukkan ke Facebook bulan lalu oleh seorang pelajar kolej, menunjukkan Cabrera membuat kerja sekolah di bangku kayu berhampiran tingkap McDonald’s untuk mendapatkan cahaya dari restoran itu.

Pelajar teknologi perubatan berusia 20 tahun, Joyce Torrefranca, dalam kenyataannya tentang gambar itu di Facebook mencatatkan, “Saya mendapat inspirasi daripada budak lelaki ini.”

Kemudian ia dikongsikan 7,000 kali di laman rangkaian sosial dan dilaporkan oleh televisyen tempatan.

Espinosa dan tiga anak kecilnya, termasuklah Cabrera, tinggal di kedai runcit mini majikannya sejak rumah mereka terbakar lima tahun lalu.

Kata Espinosa, dia meraih pendapatan 80 peso sehari bekerja di kedai itu dan sebagai amah bagi pemilik kedai itu di rumah berhampiran mereka.