Bantuan PBB tiba di Myanmar

Bantuan PBB tiba di Myanmar

YANGON, 27 Ogos (Agensi) – Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) kini sedang menghantar beras, kekacang, minyak masak dan garam kepada lebih 400,000 orang yang terjejas oleh banjir di Myanmar dan “hanya boleh sampai dengan berjalan kaki, selepas banjir dan runtuhan tanah memusnahkan jalan raya di seluruh negara,” kata agensi itu.

Lebih daripada 1.7 juta penduduk di Myanmar telah terjejas oleh banjir dan runtuhan tanah akibat hujan monsun lebat sejak awal Ogos.

Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di Yangon, WFP berkata ia sedang merayu wang berjumlah AS$12.3 juta yang diperlukan untuk memenuhi keperluan banjir.

Usaha bantuan kecemasan bermula pada bulan ini dalam tempoh 48 jam selepas pengisytiharan bencana semula jadi oleh Presiden, kata WFP, menambah dengan peruntukan pengangkutan percuma oleh Kerajaan dan syarikat penerbangan tempatan, lebih 2,500 tan metrik makanan telah dihantar ke kawasan yang terjejas oleh banjir setakat ini.

“WFP telah menyokong kerajaan Myanmar untuk menyelamatkan nyawa dengan makanan kecemasan, termasuk menyokong ramai yang hanya boleh sampai dengan berjalan kaki, selepas banjir dan runtuhan tanah memusnahkan jalan raya di seluruh negara,” menurut Pengarah Negara WFP Dom Scalpelli. “Ia merupakan satu kejayaan besar, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan pembiayaan dan kerjasama kami atas sokongan mereka.”

Bantuan daripada PBB tiba di Myanmar bagi membantu 400,000 mangsa banjir. – Reuters
Bantuan daripada PBB tiba di Myanmar bagi membantu 400,000 mangsa banjir. – Reuters

WFP, bekerjasama dengan Kerajaan, pertubuhan PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), berhasrat membantu lebih 440,000 orang dengan bantuan makanan pada awal September.

Orang yang terjejas oleh banjir menerima satu bulan catuan beras, kekacang, minyak masak dan garam. Dalam sesetengah kes, mereka juga menerima bekalan biskut bertenaga selama seminggu, kata agensi.

Kecemasan telah memaksa WFP menggantung buat sementara waktu program biasa seperti bantuan pemakanan sekolah untuk wanita mengandung dan ibu menyusu, dan peruntukan makanan untuk orang yang menghidapi HIV dan tuberkulosis.

Usaha bantuan banjir setakat ini telah disokong menerusi sumbangan dari Australia, Kanada, Republik Czech, Denmark, Kesatuan Eropah, Jerman, Jepun, Myanmar, New Zealand, Norway, Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat serta Persatuan Jepun untuk WFP, Dana Tindak Balas Kecemasan PBB dan sektor swasta.

ARTIKEL YANG SAMA