Bantuan UNRWA diperlukan

AMMAN, 12 Jan – Jordan semalam menekankan keperluan untuk menyambung semula sokongan berterusan terhadap agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) supaya ia terus dapat memberikan perkhidmatan kepada pelarian Palestin, menurut laporan agensi berita yang dikendalikan kerajaan, Petra.

Semasa pertemuan bersama Pesuruhjaya Agung UNRWA Pierre Krahenbuhl, Menteri Luar Asing Ayman Safadi berkata, adalah penting bagi UNRWA untuk terus memberikan perkhidmatan dalam pelbagai bidang kesihatan, pendidikan dan sokongan terhadap bantuan.

Menteri berkata ia adalah tugas seluruh masyarakat antarabangsa untuk menyokong UNRWA sehingga nasib pelarian Palestin diselesaikan selaras dengan resolusi legitimasi antarabangsa.

Kedua-dua pihak juga membincangkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh agensi itu dengan berkata ia adalah penting bagi masyarakat antarabangsa untuk menyediakan dana kepada agensi PBB untuk menghadapi cabaran memandangkan AS baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk mengurangkan bantuan kepada UNRWA. – Xinhua