Bantuan untuk mangsa taufan giat diusahakan

Bantuan untuk mangsa taufan giat diusahakan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Berikutan kejadian hujan lebat berangin kencang, 10 Julai lalu, sebanyak 282 kes atap diterbangkan, satu kes rumah roboh, 42 kes bagi pokok tumbang dan 29 kejadian lain telah dilaporkan di keempat-empat daerah.

Statistik ini dikongsi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, dengan menambah kejadian-kejadian yang terjadi tidak mencatatkan sebarang kes korban jiwa atau kecederaan kecuali kerosakan pada rumah dan harta benda.

Beliau menyatakan perkara ini semasa sidang media anjuran Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) di Bilik Mesyuarat, Pusat NDMC, Berakas, hari ini, yang turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada NDMC, Jabatan Bomba dan Penyelamat, jabatan-jabatan daerah dan Jabatan Elektrik. Dr. Haji Abdul Manaf menjelaskan, bagi rumah-rumah yang mengalami atap diterbangkan, sejurus sahaja menerima panggilan kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah bertindak memasang kanvas sebelum memanjangkan aduan ke jabatan-jabatan daerah untuk tindakan selanjutnya.

Manakala, bagi rumah-rumah yang dikategorikan sebagai tidak selamat untuk didiami, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan jabatan-jabatan daerah menyediakan penempatan-penempatan sementara di beberapa buah lokasi. Bagi rumah-rumah yang terjejas di bahagian dapur, JAPEM menyediakan bantuan makanan berupa makanan bungkus bagi keperluan bersahur dan bersungkai.

Menurut beliau lagi, pada ketika ini, kerja-kerja membaik pulih rumah-rumah yang atapnya diterbangkan sedang giat dilaksanakan.

Antara mereka yang menghadiri sidang media anjuran NDMC di Bilik Mesyuarat, Pusat NDMC, Berakas, kelmarin.
Antara mereka yang menghadiri sidang media anjuran NDMC di Bilik Mesyuarat, Pusat NDMC, Berakas, kelmarin.

Di Daerah Brunei dan Muara, Pusat Operasi Kecemasan Daerah (DEOC) telah membuat siasatan dan mendapati kebanyakan kerosakan pada atap di daerah ini adalah tidak begitu serius. “Bagaimanapun, pihak DEOC sedang menilai bantuan yang diperlukan secara berterusan.Pada masa ini, 14 buah rumah telah siap diperbaiki, 12 buah rumah pula sedang diperbaiki. Sementara itu, dua buah rumah lagi dihadapkan untuk tindakan selanjutnya oleh Jabatan Kemajuan Perumahan.”

Bagi rumah-rumah di Kampong Ayer pula, 28 buah rumah telah selesai dibaiki, 23 buah rumah sedang dalam pembaikan, tiga buah rumah memerlukan bahan binaan, 13 buah rumah telah dipasang kanvas dan 28 buah rumah tidak perlu dipasang kanvas manakala di Daerah Tutong sebanyak 20 buah rumah terjejas di mana, enam buah rumah telah diganti atau atap dipasang semula, sebuah rumah masih dalam pembaikan dan 13 buah rumah telah dipasang kanvas.

Di Daerah Belait, 18 buah rumah terjejas di mana, sebuah rumah telah diperbaiki dengan kerjasama gotong-royong Majlis Perundingan Kampung Lumut 1, atap lima buah rumah telah dipasang semula, enam buah rumah hanya mengalami kerosakan di bahagian garaj dan stor, lima buah rumah dipasang kanvas dan sebuah keluarga telah ditempatkan di kediaman sementara di Flat 83, Jalan Maulana, memandangkan rumah mangsa mengalami kerosakan teruk dan tidak selamat untuk didiami.

Sementara itu, Daerah Temburong, terdapat 11 buah rumah yang terjejas, dan buat masa ini, sebuah rumah telah selesai dibaik pulih, tiga buah rumah masih dalam pembaikan, empat buah rumah akan diperbaiki pada hari ini dan esok, manakala tiga buah lagi masih dalam siasatan.

Dr. Haji Abdul Manaf menambah, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak Pengurusan Lebuh Raya juga telah membersihkan pokok-pokok tumbang terutamanya yang menghadang perjalanan lalu lintas.Menurut maklumat Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, satu lagi taufan aktif di Barat Lautan Pasifik dijangka bergerak menuju ke rantau ini dan berpotensi hujan berangin ribut sekali-sekala minggu ini.

ARTIKEL YANG SAMA