Bantulah Adam

Bantulah Adam

Oleh Hajah Saemah Kepli & Faza Suraj

 

SERIA, 5 Mei – “Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul!” Itulah yang dirasakan oleh pasangan suami isteri, setelah ditakdirkan berhadapan dengan dugaan Allah, memiliki anak damit yang mengalami penyakit di bahagian kepala yang semakin hari semakin membesar.

Pasangan suami isteri, Awang Lani bin Karim, 47, dan Dayang Jainah binti Sarah, 42, semasa ditemui Media Permata di rumah mereka di RPN Kampung Lumut hari ini, melahirkan harapan supaya pihak berkenaan memberikan ruang untuk anak mereka dirawat di Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) sekiranya pihak hospital yang merawatnya sebelum ini sudah memutuskan tidak lagi dapat melakukan apa-apa ke atas anak damit mereka itu.

Sejak dilahirkan, Adam Darwis bin Lani yang kini berusia tujuh bulan, menderita penyakit yang dinamakan Craniosynostosis oleh pihak perubatan, kini pihak hospital hanya membekalkannya dengan ubat penahan sakit dan membolehkannya tidur.

Dayang Jainah berkata, anak damitnya itu dilahirkan dalam keadaan kepalanya yang agak meruncing ke atas, dengan berat badan 2.8 kilogram.

Sejak kelahirannya di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan, pada 13 September 2015, Adam telah ditahan di Unit Neonatal RIPAS selama sebulan.

Dayang Jainah, memangku anak damitnya Adam Darwis yang menghidap penyakit bahagian kepala yang semakin membesar. – Gambar Hajah Saemah Kepli
Dayang Jainah, memangku anak damitnya Adam Darwis yang menghidap penyakit bahagian kepala yang semakin membesar. – Gambar Hajah Saemah Kepli
Adam Darwis ketika dilahirkan dengan keadaan kepalanya yang meruncing sedikit ke atas. – Gambar daripada keluarga Adam Darwis.
Adam Darwis ketika dilahirkan dengan keadaan kepalanya yang meruncing sedikit ke atas. – Gambar daripada keluarga Adam Darwis.

Menurutnya, beberapa hari selepas melahirkan, doktor mengesyorkan supaya pembedahan dilakukan ke atas kepala anaknya itu, tetapi dalam masa yang sama, mereka turut diberitahu walaupun pembedahan dilakukan, harapan bagi anak mereka itu agak tipis.

“Oleh kerana saya dalam keadaan agak tegang, kerana baru lepas bersalin, dan sedih melihat keadaan anak saya itu, saya suami isteri yang diberikan waktu berfikir untuk membuat keputusan selama dua minggu, akhirnya memutuskan tidak bersetuju ke atas cadangan dilakukan pembedahan itu, dan kami juga telah menandatangani dokumen menolak pembedahan itu,” kata Dayang Jainah.

Bagaimanapun dakwanya, mereka merasa agak terkilan, apabila pada 27 April lalu, pihak hospital telah membatalkan untuk membuat Imbasan CT ke atas anak damit mereka itu, dan hanya ditahan di bahagian APU, kemudian dipindahkan di HDU2, untuk satu malam dan diberikan ubat penahan sakit.

“Semasa saya membawa ke hospital dan mengadu kepala anak saya keluar sejenis air, doktor telah mengesyorkan untuk dilakukan Imbas CT, tetapi tiba-tiba mereka membatalkannya dan menyatakan ianya tidak perlu dilakukan imbasan dulu.”

Menurutnya lagi, doktor juga tidak berterus terang kepada mereka, yang mempunyai harapan besar ingin tahu apakah sebenarnya menyebabkan keadaan kepala anak mereka yang semakin membesar, sedangkan semasa lahir pihak hospital memberitahu kepala Adam akan berkeadaan meruncing ke atas.

Mereka melahirkan harapan supaya anak mereka yang malang itu dapat diberikan perubatan alternatif dan memohon supaya dapat dibawa untuk pemeriksaan atau perubatan selanjutnya di JPMC atau di tempat lain.

“Kerana, jika kami suami isteri membawanya ke sana kami tidak mampu untuk membiayainya,” ujar Dayang Jainah dengan linangan air mata sambil melihat wajah anak damit yang berada dalam pangkuannya.

Dalam pertemuan hiba itu, sekali-sekala, Dayang Jainah memanggil nama Adam, dan anak damit itu seolah-olah faham panggilan ibunya, sambil mengeluarkan suaranya yang terlalu kecil dan sukar untuk kedengaran, dengan keadaan badannya yang terlalu kurus kering.

Menurut Dayang Jainah lagi, setelah menolak untuk anak mereka dibedah, Adam Darwis yang ditahan di wad selama sebulan dibenarkan dibawa pulang, kemudian membawanya untuk pemeriksaan tiga minggu sekali, selepas itu dijarakkan lagi kepada sebulan sekali, dan kini semakin lama jarak pemeriksaan ke atas anaknya itu, sehingga hampir tiga ke empat bulan.

Bagaimanapun setelah meningkat usia anak mereka kepada lima hingga enam bulan, didapati, kepalanya semakin membesar selain kelihatan timbul urat saraf kecil, dan selalu menangis kesakitan.

Kali terakhir Adam ditimbang pada 27 April lalu, beratnya hanya 8.7 kilogram, dengan besar kepala 68 sentimeter, dan ekoran aduan ibunya bahawa kepalanya mengeluarkan sejenis air, dia ditahan di hospital untuk satu malam, kemudian dibenarkan pulang serta dibekalkan dengan ubat penahan sakit.

Dayang Jainah, ibu kepada tujuh orang anak, juga memberitahu bahawa dia hanya memberikan Nestum sebagai makanan Adam, kerana dia tidak dapat duduk disebabkan kepalanya yang sangat berat.

Beliau juga jarang memberinya mandi, selain hanya mengelap dengan tuala basah, kerana Adam juga rasa tidak selesa dan sakit jika diangkat, malah untuk mengangkatnya perlu dialas dengan bantal di bawah kepalanya.

“Saya juga berharap jika ada bantuan daripada orang ramai, dan mengalu-alukan jika mereka mahu melawat anak damit kami ini, harapan kami untuk sama-sama mendoakan, mudah-mudahan Allah meringankan kesengsaraan anak kami ini Insya-Allah,” ujarnya.

Sementara itu, pihak hospital dalam laporan dokumen yang diserahkan kepada ibu bapa Adam telah menyatakan, jika dilakukan pembedahan dan berjaya, ia akan dapat memanjangkan usianya dan akan dilakukan pembedahan lanjutan yang mungkin dapat memberhentikan kemerosotan otaknya yang mungkin boleh mengurangkan kesakitan, tetapi ia boleh memanjangkan kesengsaraannya dengan kualiti kehidupan yang lemah pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA