Banyak peluang belum diteroka

Banyak peluang belum diteroka

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) – Aliran pelaburan antara Filipina dan Malaysia semakin menjadi dua hala berbanding satu hala, dengan banyak peluang yang belum diteroka bagi kedua-dua pihak, kata Duta Filipina di Malaysia, J. Eduardo Malaya.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu terus berusaha ke arah kerjasama ekonomi yang lebih erat.

“Kami mahu mempelawa syarikat Malaysia meneroka peluang di dalam sektor seperti pasaran halal, perniagaan agro, infrastruktur dan perkhidmatan pelancongan.

“Hab halal di bandar Zamboanga dalam wilayah Mindanao sedang diwujudkan, manakala bagi perniagaan agro, kami menggesa syarikat perladangan kelapa sawit Malaysia di sana melaksanakan secara skala lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Peluang Perniagaan Malaysia-Filipina serta sesi padanan perniagaan di sini, hari ini.

Program itu disusun oleh PhilMal International Sdn Bhd, syarikat pelaburan dan pemasaran yang menumpukan kepada penganjuran pameran perdagangan dan seminar.

Terdahulu, dalam ucapan pembukaannya, Eduardo berkata Filipina mendapat banyak manfaat daripada pelaburan syarikat Malaysia seperti Maybank, Genting Resorts World, Shangri-la Hotels, Berjaya Group, St. Giles Hotels dan AlloyMTD.

“Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, syarikat Filipina turut menjadi pelabur aktif di Malaysia, seperti Petron Corporation, PLDT Malaysia, Century Motolite Battery, URC Snack Foods, Pancake House International Malaysia dan LBC Malaysia,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, pada April tahun lepas, Ayala Land melabur AS$42.88.

juta dalam syarikat pemaju hartanah GW Holdings Bhd, dan selepas itu pada Jun, First Pacific Group melabur US$15 juta dalam iFlix, syarikat penstriman video (AS$1=RM3.89).

Filipina menikmati pertumbuhan ekonomi kukuh, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang 6.1 peratus pada 2014 dan 5.8 peratus pada 2015, serta diunjur berkembang kepada 7.0 peratus pada 2016, katanya.

“Anda mungkin bertanya, adakah selamat untuk menjalankan perniagaan atau melancong di Filipina, atau Mindanao.

“Sebagai duta, saya sendiri hairan mengapa kebanyakan berita penculikan mendapat perhatian media.

“Dengan potensi besar, Mindanao kini digelar ‘Land of Promise’,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA