Banyakkan mengingati mati

Banyakkan mengingati mati

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Umat Islam diingatkan agar memperbanyakkan mengingati kematian agar tidak leka dengan kehidupan dunia yang melalaikan dan mengasyikkan dengan memanfaatkan usia yang dianugerahkan Allah S.W.T dengan meningkatkan amal ibadah, amal salih dan kebajikan.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai mengingati kematian kerana hidup di dunia ini adalah sementara, akhirat tempat yang kekal abadi yang perlukan persiapan rapi semasa hidup.

Mengenai alam abadi ini, terdapat tiga golongan manusia iaitu golongan pertama yang tidak mengingati kematian, leka dengan urusan keduniaan dan terlalu jauh ingatan mati itu dalam diri mereka.

Golongan kedua pula ialah mereka yang banyak mengingati mati, sehingga menimbulkan rasa takut dan gerun supaya lebih banyak bertaubat. Mereka ini ada kalanya tidak menyukai mati kerana merasa takut dan tidak sempat untuk bertaubat sepenuhnya, di samping mahu menambah kebaikan dan meningkatkan bekalan ke akhirat.

Manakala golongan ketiga pula menurut khatib ialah mereka yang amat menantikan saat-saat kematian, kerana kerinduan untuk bertemu dengan Allah Maha Mencipta.

Khatib turut menjelaskan, Rasulullah S.A.W menekankan bahawa kematian merupakan perkara besar dan menakutkan. Barang siapa yang merenung kematian, akan membuatkan manusia jauh daripada dunia, tidak bersenang-senang dan segera bersiap sedia menghadapi kematian. Ini kerana kematian adalah pemutus, memisahkan manusia daripada kehidupan, harta dan teman dan sendirian dalam kegelapan kubur.

Mati juga boleh berlaku bila-bila masa dan tempat, sama ada umur masih muda atau tua, kerana sakit atau kemalangan, bahkan boleh mati dalam tidur, maka janganlah kita lalai dengan dunia dan kesenangan serta segera mengingati kematian, ujar khatib lagi.

Oleh itu, khatib menyeru untuk segera bertaubat sebelum ajal menjemput, jauhlah daripada kemaksiatan dan jangan lalai serta semoga mendapat Husnul Khatimah dan diterima amal ibadat kita oleh Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA