Banyakkan produk pikat pelancong

Banyakkan produk pikat pelancong

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Negara Brunei Darussalam perlu menghasilkan lebih banyak produk pelancongan yang dapat menarik lebih ramai pelancong asing dalam usahanya untuk mempelbagaikan ekonomi negara ini.

Walaupun industri pelancongan masih dianggap baru di negara ini, namun nilai dan kebudayaan Islam yang tebal dalam diri setiap masyarakat negara ini membolehkan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menyediakan perkhidmatan dan produk pelancongan terbaik untuk menyambut kemasukan para pelancong dan membuatkan mereka rasa selamat serta ingin kembali melancong ke negara ini.

Ini dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong ketika berucap pada perasmian Seminar Sumbangan Budaya Islam dan Impaknya Kepada Pasaran Pelancongan Asia, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Seminar sehari yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP dan Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) itu mengundang enam orang ahli panel untuk mengongsi pengalaman serta kejayaan masing-masing dalam bidang pelancongan Islam.

Antaranya ialah Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam, Malaysia, Zulkifly bin Mohammad Said, Perunding UNWTO, Imtiaz Mugbil dan Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menyampaikan ucapan perasmiannya. – Gambar Azlan Othman
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menyampaikan ucapan perasmiannya. – Gambar Azlan Othman

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dalam ucapannya berkata, sepertimana dalam industri lain, industri pelancongan memerlukan produk untuk dijual, yang pakejnya dapat menarik minat pelancong.

“Ini bermakna produk yang ditawarkan itu semestinya mudah diperoleh, selamat, bersih, selesa dan boleh dipercayai dan perlu dipasarkan kepada sektor pelancongan yang berpotensi,” ujarnya.

Beliau menambah, turut penting ialah industri perkhidmatan itu juga memerlukan sentuhan peribadi seperti senyuman dan ucap selamat serta sambutan kemesraan lain yang menyambut kehadiran pelancong apabila mereka berkunjung ke restoran atau hotel tempat penginapan.

Negara Brunei Darussalam, ujar beliau, sudah pun menyediakan banyak tempat menarik terutama dalam ekopelancongan seperti Ulu Temburong, Tasek Merimbun, pantai-pantai peranginan serta lokasi selaman bagi pelancongan marin.

Selain itu, negara ini juga menawarkan beberapa tarikan bersejarah dan kebudayaan menarik seperti Kampong Ayer, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, muzium-muzium, bangunan masjid dan istana yang kerap menjadi lokasi popular para pelancong, tambah Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali.

Seminar sehari itu bertujuan untuk mendedahkan potensi besar yang dapat ditawarkan oleh pelancongan berasaskan Islam terutama di dalam dan luar rantau Asia. Penganjurannya juga diharap dapat mengeratkan jalinan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam dalam usaha untuk mempromosi keamanan, kestabilan dan persefahaman antara berbilang kaum.