Bapa borek anak rintik

Bapa borek anak rintik

SAO PAULO, Brazil, 16 Julai – Legenda bola sepak Brazil, Rivaldo dan anak lelakinya meledak gol pada perlawanan yang sama di Liga Divisyen Dua, semalam.

Rivaldo, 43 menjaringkan satu gol manakala anak lelakinya, Rivaldo Jr, 20, meledak dua gol ketika kelab Mogi Mirim mencatat kemenangan 3-1 ke atas Macae.

Bekas pemain antarabangsa Brazil yang juga Presiden Mogi Mirim keluar daripada persaraan bulan lalu untuk membantu pasukannya yang berdepan kesukaran pada kejuaraan musim ini.

Mogi Mirim berada di kedudukan terakhir daripada 20 pasukan dengan kemenangan ke atas Macae membawa pasukan itu keluar daripada tangga tercorot.

Kelab itu juga tidak mencatat kekalahan dalam dua perlawanan terakhir sejak penampilan semula Rivaldo.

Rivaldo bersama anak lelakinya Rivaldo Jr. – Gambar Ihsan
Rivaldo bersama anak lelakinya Rivaldo Jr. – Gambar Ihsan

Bekas perancang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona itu mengakui dirinya bersyukur untuk kembali meledak gol.

“Gembira untuk menjaringkan gol dan melihat anak lelaki saya menjaringkan dua gol pada perlawanan sama,” katanya. – AFP