Bapa didakwa ...

Bapa didakwa bunuh isteri dan empat anak

COPENHAGEN, 11 Jan – Seorang bapa berusia 45 tahun dipercayai telah membunuh isteri dan empat orang anaknya sebelum membunuh dirinya sendiri di bandar Denmark, Ulstrup di semenanjung Jutland, media tempatan melaporkan kelmarin sebagai memetik sumber dari polis.

Kematian enam ahli keluarga telah ditemui sekitar tengah hari semalam selepas polis menerima laporan mengenai keadaan mencurigakan di alamat tersebut, menurut agensi berita Denmark Ritzau.

Siasatan polis telah menunjukkan bahawa ia adalah satu ‘tragedi keluarga’ di mana ibu berusia 42 tahun itu, dua kanak-kanak lelaki, 3 dan 11 tahun, dan dua kanak-kanak perempuan berusia 6 dan 16 tahun telah dibunuh oleh bapanya.

Polis Timur Jutland menolak kemungkinan kelmarin bahawa kebocoran gas telah menjadi penyebab kepada kematian.

“Berdasarkan maklumat yang ada dalam kes ini, penilaian awal polis ialah bahawa empat kanak-kanak dan wanita berusia 42 tahun itu semua telah dibunuh oleh lelaki berusia 45 tahun itu, yang kemudian membunuh dirinya sendiri,” polis berkata dalam satu kenyataan akhbar.

Motif pembunuhan masih tidak diketahui.

Kes itu telah mengejutkan negara, di mana tragedi yang sama berlaku beberapa bulan yang lalu.

Pada bulan Oktober tahun lalu, seorang wanita Syria yang berusia 27 tahun dan dua orang anak perempuan beliau ditemui mati di dalam peti sejuk di sebuah apartmen di bandar selatan negara itu di Aabenraa.

Suami perempuan itu, juga bapa kepada kanak-kanak, disyaki telah mencekik isteri dan dua kanak-kanak itu. – Xinhua