Bapa paksa anak hidu ekzos kereta hingga mati

Bapa paksa anak hidu ekzos kereta hingga mati

DEARBORN HEIGHTS, Michigan, 22 Sept – Seorang lelaki ditahan selepas dua anaknya yang kecil dilemaskan menggunakan ekzos kereta, dua anak isterinya yang lebih dewasa ditembak mati manakala isterinya ditembak dan dikelar di rumah mereka di pinggir Detroit, kata polis kelmarin.

Lelaki itu, yang mana namanya tidak didedahkan, menelefon 911 awal pagi kelmarin dan mengaku membunuh keluarganya, kata Leftenan Polis di sini Michael Krause kepada The Associated Press.

Pegawai polis menemui lelaki terbabit di anjung dan membawanya untuk ditahan, kata Krause menambah, dia akan berdepan dakwaan beberapa hari lagi.

Krause berkata, “berlaku pertelingkahan domestik” yang menjurus kepada pembunuhan terbabit.

Krause berkata, kereta di mana anak lelaki terbabit, kanak-kanak perempuan empat tahun dan budak lelaki enam tahun dilemaskan, diletakkan di luar rumah itu dan mempunyai hos dari ekzos ke dalam kenderaannya. Polis menemui kanak-kanak lain di lantai rumah dan melakukan CPR, katanya. Malangnya mangsa tidak dapat diselamatkan setibanya di hospital.

Di bahagian bawah tanah rumah itu, polis menemui mayat remaja perempuan 17 tahun dan lelaki berusia 19 tahun bersama ibu mereka, yang ditembak dan dikelar, kata Krause.

Tambahnya, wanita itu yang mana usianya tidak dikenal pasti kini dalam keadaan kritikal. – AP

ARTIKEL YANG SAMA