Bapa, tiga anak didakwa di bawah Seksyen 15

Bapa, tiga anak didakwa di bawah Seksyen 15

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Seorang bapa dan tiga orang anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua pertuduhan di bawah Perintah Perikanan 2009.

Jusni bin Haji Ahad berusia 51 tahun berdepan pertuduhan mengendalikan kapal penangkapan ikan tanpa lesen di perairan Brunei pada 1 September 2012 kira-kira jam 2:30 petang dan melanggar Seksyen 15(1)(a) Perintah Perikanan 2009.

Defendan bersama tiga orang anaknya, Mohd Rauuf 27, Mohd Rafiq, 25, dan Mohd Rafaie, 22, pada tarikh yang sama turut berdepan tuduhan memiliki bahan berbahaya iaitu 3.7 gram amonium nitrat dengan tujuan menggunakan bahan itu untuk menangkap ikan secara mudah dan melanggar Seksyen 31(1)(b) Perintah Perikanan 2009.

Kedua-dua pertuduhan membawa kepada denda tidak melebihi $10,000, penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin menetapkan 23 Disember untuk sebutan seterusnya dan membenarkan setiap defendan diikat jamin $1,500 atau seorang penjamin tempatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Siti Nurul Fairuz binti Pengiran Rosli manakala defendan diwakili Peguam bela, Ahmad Zakaria.

ARTIKEL YANG SAMA