Barang kemas dirampas SPRM bernilai RM3.64 juta

Barang kemas dirampas SPRM bernilai RM3.64 juta

KOTA KINABALU, 7 Okt – Barang kemas yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah bernilai RM3.64 juta.

Menurut sumber rapat dengan pasukan pegawai penyiasat dalam kes penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, SPRM telah mendapatkan khidmat seorang pakar penilai barang kemas dari Bank Rakyat.

“Berat barang kemas bagi suspek berjawatan pengarah adalah 14.5 kilogram yang bernilai RM2.74 juta manakala nilai barang kemas seberat 4.8 kilogram bagi suspek berjawatan timbalan pengarah dianggarkan dalam RM900,000,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, proses menilai barang kemas itu bermula kira-kira 10:30 pagi ini dan selesai kira-kira 12:15 tengah hari.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

Sehingga kini, nilai rampasan melebihi RM114.5 juta diperoleh daripada suspek dan keluarga mereka, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan itu.

Dalam sidang akhbar pada Rabu lepas (5 Oktober), Azam mendedahkan rampasan wang tunai dan sejumlah barang kemas serta sembilan kereta mewah. – Bernama