Barang kes pencerobohan disimpan dengan selamat

Barang kes pencerobohan disimpan dengan selamat

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) – Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat bahawa semua barang kes yang berkaitan dengan pencerobohan Lahad Datu, disimpan dengan selamat di dalam stor.

Inspektor Che Mamat Mohd Faiz Said berkata beliau ditugaskan untuk mengendalikan barang kes itu yang disimpan di dalam stor di ibu pejabat polis Lahad Datu dan di ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK Sabah).

Pada 2 Jan tahun lepas, katanya beliau ditugaskan membawa semua barang kes dari Lahad Datu ke IPK Sabah sebagai persediaan bagi perbicaraan kes pencerobohan.

Mohd Faiz memberi keterangan pada perbicaraan kes 30 individu yang dikaitkan dengan sekumpulan lelaki bersenjata Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013. Pegawai penyiasat itu, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Ibu Pejabat Polis Penampang, berkata beliau dibantu oleh tiga anggotanya untuk mengendalikan barang kes itu setiap kali ia perlu dikemukakan di mahkamah.

Mohd Faiz berkata beliau juga bertanggungjawab menghantar senjata api dan peluru kepada Unit Persenjataan di IPK Sabah bagi membolehkan ujian dijalankan.

Menurutnya beliau turut diminta menghantar swab forensik kepada Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

ARTIKEL YANG SAMA