Barangan terpakai dimanfaatkan

Barangan terpakai dimanfaatkan

Oleh Anwar Rosly

 

TUTONG, 11 Mac – Bermula daripada hobi, kebolehan mereka bentuk pelbagai barangan rumah dan dekorasi halaman serta pengalaman daripada pekerjaan, kini seorang pesara mampu mencari rezeki dengan menghasilkan pelbagai produk daripada barangan terpakai.

Awang Juriah bin Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Kampung Penanjong kini meluangkan masa persaraannya menghasilkan pelbagai reka bentuk barang-barang yang diperbuat daripada besi seperti hiasan untuk pasu bunga, tempat barbeku yang diperbuat daripada tong lama, jemuran kain, gril untuk menutup longkang dan sebagainya.

“Hobi ini bermula sejak saya masih muda dulu, saya mempelajari bagaimana untuk melakukan kimpalan besi paip serta bertukang kayu melalui pengalaman saya bekerja sebagai seorang askar dalam Askar Melayu Brunei pada tahun 1961,” ujarnya ketika ditemui Media Permata.

Pesara berumur 74 tahun ini, banyak menggunakan ‘peralatan kampung’, contohnya menjadikan barang yang ada di rumah sebagai penahan untuk membengkokkan serta mereka bentuk besi menjadi hiasan pasu bunga.

Selain itu, beliau juga menggunakan barang perkakas tertentu untuk membantu dalam pembuatan barang-barang terpakai ini.

Tempat barbeku yang dihasilkan oleh Awang Juriah.
Tempat barbeku yang dihasilkan oleh Awang Juriah.
Hiasan besi untuk pasu bunga yang direka bentuk oleh Awang Juriah.
Hiasan besi untuk pasu bunga yang direka bentuk oleh Awang Juriah.

“Ada di antara besi dan tong saya beli dari tempat kitar semula,” kata Awang Juriah yang bersara daripada jawatan ketua kampung selepas melaksanakan tugasnya dari tahun 1996 hingga 2008.

Namun ada beberapa batang besi yang lain, dibelinya dari kedai perkakas di Pekan Tutong.

Berita mengenai kemahiran beliau dalam pertukangan rekaan bentuk besi hiasan telah tersebar, dan barangan yang dijualnya pada harga berpatutan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Jika ada pelanggan-pelanggan saya yang ingin membuat barangan tertentu dengan hasil rekaan bentuk mereka sendiri, ia akan memerlukan masa yang sedikit lama dengan harga yang setimpal, bergantung kepada saiz dan barang-barang yang diperlukan untuk membinanya,” jelas Awang Juriah lagi.

Awang Juriah yang sebelum ini bekerja dengan kerajaan di Jabatan Kerja Raya, juga pernah meluangkan masa selama lapan tahun menghasilkan 400 bot laut yang kecil bagi pelanggannya sebagai pendapatan sampingan. Kini beliau meluangkan sepenuh masa dan perhatian dalam perusahaan beliau menghasilkan barang-barang terpakai untuk orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA