Barca belasah Athletic Bilbao 6-0

Barca belasah Athletic Bilbao 6-0

BARCELONA, 18 Jan – Luis Suarez meledak hatrik keduanya musim ini ketika Barcelona membelasah Athletic Bilbao 6-0 dalam saingan La Liga di Nou Camp dengan pasukan pelawat terpaksa beraksi 10 pemain, awal pagi tadi.

Bintang Argentina, Lionel Messi menjaringkan gol pembukaan menerusi penalti seawal minit ketujuh perlawanan selepas penjaga gol Bilbao, Gorka Iraizoz diarah keluar padang kerana menjatuhkan Suarez di dalam kotak penalti.

Begitupun, pemain terbaik dunia itu kemudian dikeluarkan pada babak kedua perlawanan kerana masalah kecederaan hamstring. Barcelona menambah gol kedua menerusi Neymar sejurus rehat sebelum Suarez mengganas dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh 35 minit sepanjang babak kedua dengan Ivan Rakitic turut meletakkan nama selaku penjaring.

Kelab Catalan itu kini mengumpul 45 mata daripada 19 perlawanan untuk terus berada di kedudukan kedua La Liga di belakang Atletico Madrid, namun memiliki kelebihan kurang satu perlawanan.

Football Soccer - Barcelona v Athletic Bilbao - Spanish Liga - Camp Nou stadium, Barcelona

Sebelum perlawanan, Messi diraikan sempena kejayaannya memenangi anugerah Ballon d’Or di Zurich, minggu lalu.

Kain rentang besar yang menulis ‘Tahniah Leo’ turut dikibarkan ketika dia berjalan bersama trofi yang dimenanginya di hadapan peminat dengan keraian bertambah ketika menjaringkan gol pertama Barca.

Pengurus Barca, Luis Enrique berkata pemain tonggaknya itu yang digantikan dengan Arda Turan akan menjalani imbasan untuk melihat sejauh mana tahap kecederaannya.

“Tidak perlu untuk mengambil risiko,” kata Enrique mengulas tindakannya mengeluarkan Messi. “Saya tidak mahu memberi risiko kepada sesiapapun, lebih-lebih lagi Messi.”

Penyerang Argentina itu terpaksa direhatkan selama dua bulan, tahun lalu akibat kecederaan lutut. – Agensi