Barca belasah Celta Vigo 6-1

Barca belasah Celta Vigo 6-1

BARCELONA, 15 Feb – Bintang Barcelona, Neymar mendakwa hantaran penalti daripada Lionel Messi adalah untuknya, tetapi ia disempurnakan Luis Suarez dalam kemenangan 6-1 ke atas Celta Vigo dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.

Messi dan Suarez bergabung menjaringkan gol penalti paling klasik dalam sejarah bola sepak apabila Messi menolak bola kepada Suarez yang memintas Neymar untuk melengkapkan hatrik.

“Ia dirancang untuk saya, kami sudah berlatih melakukannya, tetapi Luis berada lebih dekat,” kata Neymar. Tidak mengapa, dia menyempurnakannya, jadi ia berjalan lancar.”

Barca sudah mendahului 3-1 apabila Messi – yang tersasar 17 kali daripada 83 sepakan penalti sepanjang kariernya – dijatuhkan dalam kotak penalti.

Messi dengan sepakan percuma menarik, Ivan Rakitic dan Neymar menjaringkan gol selebihnya untuk meletakkan Barca di puncak La Liga dengan kelebihan tiga mata.

Tiga penyerang utama Barcelona masing-masing menjaringkan gol pada perlawanan tersebut. – AFP
Tiga penyerang utama Barcelona masing-masing menjaringkan gol pada perlawanan tersebut. – AFP

“Penyerang kami cukup pemurah. Kami sayang satu sama lain dan persahabatan ini lebih penting, tidak kira siapa yang menjaringkan gol,” kata Neymar.

Jaringan penalti itu mengimbau kembali kenangan seorang lagi legenda Barcelona, Johan Cruyff apabila dia dan Jesper Olsen bermain satu dua untuk pemain Belanda itu menjaringkan gol ketika mewakili Ajax menentang Helmond Sport pada tahun 1982.

“Kita semua mengingati jaringan Cruyff itu,” kata pengendali Barca, Luis Enrique. “Saya tidak berani melakukannya kerana saya mungkin akan terpijak bola.

“Ada yang akan menyukainya, ada yang tidak, tetapi sebagai pemain Barca dan ahli kelab, selain memenangi kejuaraan kami cuba untuk menikmati bola sepak dengan cara tersendiri.”

Jaringan berkenaan bagaimanapun mendapat reaksi bercampur daripada media Sepanyol dengan sebahagian melabelkannya sebagai “penalti abad ini” dan ada yang menganggap kreativiti Barca itu tidak menunjukkan rasa hormat kepada lawannya.

Gandingan pemain Perancis, Thierry Henry dan Robert Pires pernah cuma melakukan sepakan penalti sebegitu ketika Arsenal bertemu Manchester City pada tahun 2005, tetapi tidak berjaya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA