Barca belasah Celtic

Barca belasah Celtic

BARCELONA, 14 Sept – Lionel Messi meledak hatrik dan Neymar menghasilkan empat umpanan apabila Barcelona melancarkan kempen Liga Juara-Juara mereka dalam aksi yang begitu cemerlang dengan membelasah pasukan kendalian Brendan Rodgers, Celtic 7-0, awal pagi tadi.

Messi dan Neymar yang kembali digandingkan bersama Luis Suarez dalam kesebelasan utama buat pertama kali musim ini tidak memerlukan masa yang lama untuk membuktikan ketajaman, sekali gus meletakkan nama selaku penjaring gol.

Dua gol daripada Messi pada babak pertama perlawanan bermula di minit ketiga disusuli kegagalan Moussa Dembele memberikan Barca selesa mendahului 2-0 pada separuh masa permainan.

Juara Scotland itu terus dihukum juara Sepanyol pada babak kedua dengan lima lagi jaringan menerusi Neymar, Messi, Andres Iniesta dan dua gol daripada Suarez.

“Sudah lama kami tidak dapat menikmati kegembiraan berada di atas padang bersama-sama dan hari ini kami lakukannya,” kata Suarez.

Para pemain Barcelona meraikan kemenangan mereka setelah membelasah Celtic 7-0. – AFP
Para pemain Barcelona meraikan kemenangan mereka setelah membelasah Celtic 7-0. – AFP

Pengurus Celtic, Brendan Rodgers, yang juga bekas pengurus Liverpool, menggelar bekas pemainnya, Suarez sebagai penyerang terbaik di dunia sebelum perlawanan berlangsung.

Walaupun dibelasah, beliau berkata, tiada sebab untuk berasa malu kerana pasukan lawan itu sememangnya pasukan yang lebih bagus.

“Mereka adalah pemain yang istimewa. Mereka mempunyai tiga pemain terbaik di bahagian serangan, yang mampu menundukkan sebanyak mana pemain yang mereka mahu.

“Kami meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan, namun kepantasan pergerakan dan gabungan sentuhan mereka.. mereka adalah pemain kelas dunia dan mereka menunjukkannya hari ini,” kata Rodgers.

Barca berkemungkinan dikenakan hukuman oleh Kesatuan Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas ribuan bendera pemisah Catalan berkibar di Nou Camp pada perlawanan itu.

Gergasi Sepanyol itu sudah pun didenda 150,000 euro oleh UEFA musim lalu atas kesalahan sama. – AFP