Barca belasah Real 4-0

Barca belasah Real 4-0

MADRID, 22 Nov (AFP) – Luis Suarez dan Neymar meneruskan rentak cemerlang di depan gawang ketika membantu Barcelona membelasah Real Madrid 4-0 di Santiago Bernabeu, semalam sekali gus mengukuhkan kedudukan kelab itu di puncak La Liga Sepanyol.

Kemenangan tersebut menjadikan Barca kelebihan 6 mata di hadapan Real Madrid.

Sekalipun tidak menyenaraikan bintangnya, Lionel Messi dalam kesebelasan utama, Barca jelas tetap sukar ditundukkan dengan gerakan pemain kelahiran Argentina yang dimasukkan selaku pemain simpanan itu turut cemerlang dan menjadi perancang kepada jaringan kedua Suarez dan keempat Barca.

Suarez meletakkan Barca di depan seawal minit ke-10 permainan sebelum penyerang Brazil, Neymar menggandakan jaringan pelawat enam minit sebelum babak kedua berakhir.

Jaringan itu menyaksikan Neymar dan Suarez sudah menjaringkan 19 gol dalam kempen La Liga Barca ketika ini.

Aksi menarik Neymar tatkala meraikan kejayaannya menjaringkan gol kedua untuk Barcelona pada perlawanan menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu pada 21 November 2015. – Reuters
Aksi menarik Neymar tatkala meraikan kejayaannya menjaringkan gol kedua untuk Barcelona pada perlawanan menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu pada 21 November 2015. – Reuters

Andres Iniesta menambah gol ketiga buat Barca pada babak kedua sebelum gandingan Messi, Neymar dan Suarez menghasilkan jaringan keempat buat pelawat memberi kekalahan memalukan buat Real.

Bekas pemain Liverpool itu sekali lagi meledak gol keempat itu pada minit ke-74 selepas Andres Iniesta melengkapkan gol ketiga pada minit ke-53.

Sekali pun hanya mencatat dua kekalahan sepanjang 16 perlawanan yang dikendalikannya, kedudukan bos Real, Rafael Benitez kini tidak lagi selesa selepas peminat jelas tidak berpuas hati dengan keputusan yang diraih.

Pertemuan di Bernabeu adalah aksi pertama Clasico membabitkan dua musuh tradisi itu.

Pengurus Real ketika mengulas kekalahan pasukan bimbingannya berkata: “Kami perlu dipersalahkan dengan keputusan ini. Ia sangat mengecewakan, namun kami perlu bangkit kerana masih ada lagi peluang untuk menang.”