Barca belasah Villanovense

Barca belasah Villanovense

BARCELONA, 3 Dis (AFP) – Sandro Ramirez menjaringkan hatrik ketika Barcelona membelasah kelab divisyen tiga Villanovense 6-1 semalam untuk menempah tempat ke pusingan 16 terakhir Copa del Rey.

Bos Barca, Luis Enrique tidak membawa Lionel Messi bersama skuad 16 pemain beliau, manakala Neymar dan Luis Suarez kekal di bangku simpanan ketika campuran anak-anak muda Barca dan veteran terbukti terlalu kuat untuk Villanovense selepas seri 0-0 dalam perlawanan pertama lima minggu lalu.

Rembatan jarak jauh Dani Alves yang mengejutkan penjaga gol Villanovense Jose Antonio Fuentes membuka pintu banjir jaringan selepas empat minit.

Ramirez kemudian menamatkan kemarau gol 12 bulan bersama pasukan kanan Barca apabila menggegarkan gawang selepas mengambil kesempatan di atas kesilapan Fuentes.

Juanfran memberikan pasukan pelawat lega seketika sebelum setengah jam apabila dia merembat ke sudut atas penjuru kanan Jordi Masip untuk mengurangkan defisit kepada satu gol.

Sandro Ramirez (kiri) menjaringkan gol semasa menentang Villanovense dalam aksi Copa del Rey di stadium Camp Nou, semalam. – Reuters
Sandro Ramirez (kiri) menjaringkan gol semasa menentang Villanovense dalam aksi Copa del Rey di stadium Camp Nou, semalam. – Reuters

Bagaimanapun, Ramirez mengurangkan tekanan Barca dua minit kemudian dengan penyudah menarik daripada hantaran Aitor Cantalapiedra.

Baik Ramirez dan Munir El Haddadi gagal menjaringkan gol dalam tempoh dua bulan dan mereka berkongsi sebagai pemangku Messi ketika pemain Argentina itu diketepikan akibat kecederaan ligamen lutut baru-baru ini.

Tetapi, untuk menghadapi lawan yang lebih lemah, mereka menunjukkan potensi dengan El Haddadi menanduk masuk hantaran lintang Jeremy Mathieu untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Ramirez meledak dari jarak dekat untuk melengkapkan hatrik 21 minit sebelum tamat dan kemudian mengumpan bola kepada El Haddadi dengan tumit untuk mengakhiri jaringan tujuh minit kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA