Barca belum puas

Barca belum puas

YOKOHAMA, 21 Dis (AFP) – Penyerang Barcelona, Luis Suarez melaungkan amaran yang gergasi bola sepak Sepanyol itu akan terus memburu trofi selepas meraih kejuaraan ketiga Piala Dunia Kelab.

Pemain Uruguay itu meledak dua kali di babak kedua untuk membantu juara Eropah berkenaan mengetepikan cabaran kelab Argentina, River Plate 3-0 pada final di Yokohama semalam.

“Selepas pertandingan sebegini majoriti pasukan akan mengalami kemerosotan,” kata Suarez yang percaya pasukannya akan terus dahagakan kejayaan.

“Kami perlu mengelak perkara itu dan kami masih mempunyai keinginan untuk memenangi gelaran serta membuktikan yang kami adalah pasukan terbaik dunia.”

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu menggambarkan Lionel Messi sebagai pemain terhebat dalam sejarah selepas pemain Argentina itu menjaringkan gol pembukaan walaupun baru pulih daripada penyakit batu karang. “Leo adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak,” katanya. “Apa yang kami capai ini sungguh menakjubkan.”

Barcelona ketika menjulang Piala Dunia Kelab baru-baru ini. - AFP
Barcelona ketika menjulang Piala Dunia Kelab baru-baru ini. – AFP

Messi muncul sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam ketiga-tiga final Piala Dunia Kelab, selepas memacu Barca menjuarai edisi 2009 dan 2011, apabila dia menjaringkan gol menarik sembilan minit sebelum tamat babak pertama.

Suarez, yang meledak hatrik ketika kemenangan 3-0 ke atas Guangzhou Evergrande pada aksi separuh akhir, mengumpul 24 gol dalam 24 perlawanan musim ini, termasuk 17 dalam 11 penampilan terakhirnya.

“Mereka adalah dua pemain terbaik dunia,” kata Suarez yang tidak mahu mencuri tumpuan daripada Messi dan Neymar. “Anda tahu anda akan berpeluang menjaringkan gol apabila bermain di sisi mereka.”

Messi (47 gol), Suarez (46) dan Neymar (41) bergabung meledak 134 gol keseluruhan untuk Real Madrid sepanjang tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA