Barca belum putus asa buru Coutinho

BARCELONA, 12 Okt – Barcelona merancang untuk melancarkan kembali usaha mendapatkan tonggak Liverpool Philippe Coutinho (gambar) pada jendela perpindahan Januari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif kelab Catalan itu, Oscar Grau, awal pagi tadi.

Barca gagal dalam usaha membawa Coutinho keluar dari Anfield ketika musim panas dengan Liverpool meletakkan harga 200 juta euro buat pemain tengah dari Brazil itu.

Walaupun Coutinho juga cuba merancang perpindahan keluar dari Anfield, Liverpool menolak perpindahan lewat itu pada penghujung musim. Namun Grau menyatakan dengan jelas kelab gergasi Sepanyol masih belum berputus asa.

“Kami sudah bersedia menandatangani Coutinho, atau mana-mana pemain (ketika perpindahan musim sejuk),” katanya dalam sidang akhbar.

“Kami ada wang,” kata Grau, mengesahkan pengumuman kelab pada Julai mengenai pendapatan 708 juta euro bagi musim 2016/2017 dengan keuntungan selepas cukai 18 juta euro.

Grau menambah: “Perkara paling penting ialah permintaan pengurusan, dan kami akan melakukan apa saja untuk memenuhinya. Kami mahu sebuah pasukan paling kompetitif.”

Barca yang mengalami masa sukar di pasaran perpindahan musim panas selepas kehilangan rakan senegara Coutinho Neymar ke Paris Saint-Germain dengan rekod dunia 222 juta euro, membawa Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund untuk 105 juta euro.

Tetapi Dembele telah mengalami mimpi buruk bermula dari kehidupan di Camp Nou apabila pemain antarabangsa Perancis itu mengalami kecederaan hamstring pada penampilan sulung La Liga penuhnya dan berehat sehingga Januari depan. – AFP