Barca berjaya halang Atletico

Barca berjaya halang Atletico

BARCELONA, 31 Jan – Barcelona mengambil alih kedudukan teratas La Liga tatkala gol daripada Lionel Messi dan Luis Suarez membantu mereka bangkit mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Atletico Madrid yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain malam tadi.

Koke memberi gol pendahuluan kepada pelawat, namun Barca hanya memerlukan tempoh lapan minit sebelum berakhir babak pertama menerusi jaringan Messi dan Suarez untuk mengubah keputusan.

Hasrat Atletico untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata musnah selepas Filipe Luis dan Diego Godin diarahkan keluar padang selepas kekasaran yang dilakukan pada setiap babak aksi di Nou Camp.

Kemenangan itu menyaksikan Barca yang kekurangan satu perlawanan memintas Atletico tiga mata di persada liga dan tujuh mata di depan pasukan yang menghuni tangga ketiga Real Madrid yang akan menerima kunjungan Espanyol, malam ini.

“Ia jelas sekali hari yang penting buat kami untuk mengutip tiga mata penuh ketika menentang pencabar terdekat kami, tetapi perjalanan ini masih jauh lagi,” kata pengendali Barca, Luis Enrique.

Messi dan Suarez yang berjaya menjaringkan gol pada perlawanan tersebut. - Reuters
Messi dan Suarez yang berjaya menjaringkan gol pada perlawanan tersebut. – Reuters

“Setiap perlawanan mempunyai kesukarannya dan anda tidak semestinya sentiasa mengatasi mereka dengan cara yang paling berkesan atau yang menakjubkan.”

Sementara itu, jurulatih Atletico Diego Simeone enggan menghukum dan meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu Filipe dan Godin kerana menyebabkan mereka beraksi tanpa pemain yang cukup menentang juara Eropah itu.

“Saya tidak apa yang mahu diperkatakan mengenai mereka,” kata pengendali kelahiran Argentina itu. “

“Walaupun dengan sembilan pemain kami masih mengekalkan cara permainan. Dalam aksi seperti ini anda boleh menang atau kalah, tetapi saya lebih gemar untuk kalah sebegini.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA