Barca cari tonik selepas kalah El Clasico

Barca cari tonik selepas kalah El Clasico

PARIS, 5 April (AFP) – Juara bertahan, Barcelona mengintai peluang bagi menebus kehampaan setelah kecundang dalam aksi El Clasico, apabila menerima kunjungan Atletico Madrid, hari ini (awal pagi esok waktu Malaysia) dalam suku akhir pertama Liga Juara-juara yang menyaksikan pertembungan dua pasukan Sepanyol di Camp Nou.

Pada malam Barca mengadakan upacara penghormatan untuk legenda Belanda, Johan Cruyff, rekod kelab gergasi Catalan itu yang belum pernah dikalahkan dalam 39 perlawanan tercalar selepas gol Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo menafikan jaringan pembukaan Gerard Pique yang menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Real Madrid.

“Bagi saya perlawanan ini merupakan satu sejarah. Tiada keperitan yang kami rasakan. Kami beraksi dalam perlawanan tersebut setelah bermain dalam banyak pertemuan tanpa kalah, tetapi kekalahan mampu mengajar anda sesuatu dan pemain tahu tentang itu,” kata jurulatih Barca, Luis Enrique.

Barcelona meraih kemena­ngan dalam enam pertemuan dengan Atletico, tetapi Los Rojiblancos yang berjaya meneruskan kemaraan ketika beraksi di peringkat sama pada pertandingan musim 2013-14, yang merupakan satu-satunya kegagalan kelab Catalan itu melangkah ke separuh akhir sejak lapan musim yang lalu.

Bayern Munich akan menerima kunjungan pendahulu Liga Portugal, Benfica dalam timbal balik pertama dengan skuad bimbingan Pep Guardiola itu memburu tempat empat pasukan akhir buat kali kelima berturut-turut.

Bayern melakar kemenangan 1-0 ke atas Eintracht Frankfurt di laman sendiri yang sekali gus menyaksikan mereka mengekalkan perbezaan lima mata di depan Borussia Dortmund dalam aksi Bundesliga, tetapi kapten, Philipp Lahm memberi amaran bahawa mereka perlu meningkatkan kua­liti permainan menentang Benfica.

“Selepas cuti rehat antarabangsa, selalunya sukar untuk kami. Itu satu perkara biasa. Saya rasa perlawanan pada Selasa merupakan satu aksi yang jauh berbeza. Kami telah melakukan persediaan yang sempurna.

“Kami memerlukan persembahan yang lebih baik, tetapi saya tidak bimbang tentang perkara tersebut,” kata Lahm.

Bayern bakal beraksi tanpa Arjen Robben di Allianz Arena, tetapi tuan rumah boleh menggunakan pemain sayap Perancis, Kingsley Coman selepas dia diketepikan akibat kecederaan kaki sewaktu meraih kemenangan, Sabtu lalu.

Zlatan Ibrahimovic yang membantu Paris Saint-Germain membenam Nice 4-1 dalam aksi hujung minggu, bakal berdepan Manchester City di Parc des Princes, pada Rabu. Paris melayakkan diri ke separuh akhir Liga Juara-juara pada 1994-95, tetapi City melangkah ke suku akhir kali pertama.