Barca catat rekod baru

Barca catat rekod baru

MADRID, 12 Feb – Barcelona mencatat rekod baru kelab dengan 29 perlawanan tanpa kalah sebelum melayakkan diri ke final Piala Raja Sepanyol selepas seri 1-1 dengan Valencia kendalian Gary Neville awal pagi semalam bagi kemenangan agregat 8-1.

Tempat Barca ke final kelima dalam tempoh enam tahun terjamin selepas menang besar 7-0 pada aksi pertama minggu lalu.

Tanpa trio serangan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar, Neville yang tertekan berasa lega selepas gol pembukaan Alvaro Negredo pada babak pertama.

Bagaimanapun, pemain tengah Cameroon berusia 19 tahun Wilfred Kaptoum tampil dari bangku pemain simpanan untuk menjaringkan gol sulung bersama Barca dan mengekalkan rekod tanpa kalah juara Eropah itu enam minit sebelum tamat.

“Saya amat gembira mara ke final. Setiap orang di Barca menikmati kejayaan akhir-akhir ini dan kami biasa layak ke final, tapi sukar untuk ke sana setiap tahun,” kata bos Barca Luis Enrique.

 (Dari kanan) Neymar, Luis Suarez and Lionel Messi meraikan kejayaan selepas berjaya menjaring gol dalam perlawanan yang lalu. Barcelona mencatat rekod baru kelab dengan 29 perlawanan tanpa kalah sebelum melayakkan diri ke final Piala Raja Sepanyol. – Reuters
(Dari kanan) Neymar, Luis Suarez and Lionel Messi meraikan kejayaan selepas berjaya menjaring gol dalam perlawanan yang lalu. Barcelona mencatat rekod baru kelab dengan 29 perlawanan tanpa kalah sebelum melayakkan diri ke final Piala Raja Sepanyol. – Reuters

Secara keseluruhan, Enrique melupakan khidmat 11 pemain utama di ibu negara Catalunya itu ketika pasukannya berdepan jadual ketat dalam La Liga Sepanyol dan Liga Juara-juara.

Sebaliknya, Valencia berdepan perjuangan mengelakkan tersingkir daripada La Liga selepas tidak menang dalam 12 perlawanan liga, termasuk sembilan sejak Neville mengambil alih Disember lalu.

Neville turut mengetepikan beberapa pemain utamanya bagi pertembungan genting di laman sendiri menentang Espanyol Sabtu ini yang dilihat akan menentukan masa depannya di kelab itu.

“Kami sudah mempersiapkan diri bagi perlawanan Sabtu ini, kami sedar ia satu perlawanan besar,” ujar Neville.

“Fokus selepas kalah minggu lalu adalah terhadap perlawanan Sabtu ini menentang Espanyol.

“Saya fikir kami berhak menang perlawanan malam ini. Mereka tidak sempurna selepas apa yang berlaku minggu lalu, tapi pemain beraksi dengan penuh bermaruah.” – AFP