Barca dikejutkan tiga kanak-kanak

Barca dikejutkan tiga kanak-kanak

BARCELONA, 16 Mac (Agensi) – Detik menarik dirakam di Joan Gamper apabila tiga kanak-kanak melepasi kawalan keselamatan dan memasuki padang ketika Barcelona sedang menjalani latihan menjelang aksi Liga Juara Juara menentang Arsenal, awal pagi esok.

Tiga peminat muda itu berjaya menemui pemain yang menjadi wira kebanggaan mereka dan nyata kehadiran kumpulan ini disambut dengan tangan terbuka oleh pemain Barcelona.

Bukan saja tidak dihalau, mereka turut berpeluang menyertai sesi latihan dan bergambar bersama pemain Catalans yang akhirnya menurunkan tandatangan mereka ke atas baju kanak-kanak terbabit.

Selepas sesi pengenalan diri dan beberapa ‘selfie’ bersama Lionel Messi, trio itu kemudiannya dibenarkan menjalani latihan asas melakukan hantaran bersama pasukan juara Eropah itu.

Messi ketika menandatangani autograf untuk kanak-kanak tersebut semasa sesi latihan mereka yang dijalankan di kem latihan Joan Gamper. – Reuters
Messi ketika menandatangani autograf untuk kanak-kanak tersebut semasa sesi latihan mereka yang dijalankan di kem latihan Joan Gamper. – Reuters

Media Sepanyol, Mundo Deportivo mengesahkan tiga kanak-kanak terbabit ialah Anton, 10, Italo dan Rodrigo yang sedang bercuti di sana.

Difahamkan, pengawal keselamatan meminta kanak-kanak terbabit memadam sebahagian gambar yang ditangkap bersama bintang Barcelona itu selepas ketiga-tiganya diiring keluar daripada sesi latihan itu.

Barisan pemain termasuk jurulatih, Luis Enrique kelihatan tenang melayan kerenah tiga kanak-kanak itu, namun Enrique mengingatkan supaya kejadian sama tidak akan berulang pada masa akan datang.